Karnival Pendidikan MARA capai matlamat

Timbalan Pengarah MARA Melaka, Noor Irwan Marmin (enam dari kiri) dan Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu (M) Berhad, Ainol Amriz Ismail (empat dari kanan) bersama para peljar SMK Dato' Abdul Rahman Ya'kub menunjukkan lima jari sebagai simbol 50 Tahun MARA selepas berakhir taklimat Bengkel Wartawan Kadet Utusan Malaysia semasa Karnival Pendidikan dan Keusahawanan MARA di MITC Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Timbalan Pengarah MARA Melaka, Noor Irwan Marmin (enam dari kiri) dan Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu (M) Berhad, Ainol Amriz Ismail (empat dari kanan) bersama para pelajar SMK Dato’ Abdul Rahman Ya’kub menunjukkan lima jari sebagai simbol 50 Tahun MARA selepas berakhir taklimat Bengkel Wartawan Kadet Utusan Malaysia semasa Karnival Pendidikan dan Keusahawanan MARA di MITC Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 9 April–Penganjuran Karnival Pendidikan MARA 2016 dilihat berjaya mencapai matlamatnya menarik pengunjung terutama dalam kalangan pelajar dengan kehadiran lebih 5,000 orang pada hari pertama hari ini.
Penolong Pengurus Pengurusan Jenama Utusan Melayu (M) Berhad, Hazura Ahmad Halil berkata, keha­diran pengunjung dijangka meningkat dan mampu mencecah sehingga 10,000 orang pada hari kedua karnival itu esok.
Menurutnya, kehadiran memberangsangkan itu jelas menunjukkan bidang pendidikan merupakan perkara penting yang sentiasa diberikan perhatian oleh masyarakat ter­utama ibu bapa.
“Golongan ibu bapa hari ini sema­kin menyedari kepentingan pendidikan tinggi yang tidak boleh diambil mudah demi memastikan anak-anak mereka mendapat peluang dan tempat terbaik bagi melanjutkan pelajar selepas tamat persekolahan.
“Justeru, penganjuran Karnival Pendidikan MARA saban tahun secara tidak langsung telah membantu ribuan ibu bapa serta pelajar mendapat akses serta maklumat berguna berkaitan bidang pendidikan tinggi yang ditawarkan di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia sempena Karnival Pendidikan MARA 2016 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.
Jelas Hazura, program yang menyasarkan calon dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) itu telah diadakan di 11 lokasi seluruh negara bermula 9 Mac lalu dan akan berakhir di Selangor pada 16 April ini.
Katanya, Utusan Melayu (M) Berhad yang kali pertama dipilih sebagai media rasmi karnival tersebut turut mengambil peluang menganjurkan beberapa aktiviti berkaitan dalam usaha mendekatkan golongan pembaca muda dengan Utusan Malaysia.
“Kami turut mengadakan Bengkel Wartawan Kadet yang dikendalikan oleh Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail sebagai usaha memupuk minat dalam kalangan pelajar untuk menceburi bidang kewartawanan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, Utusan Melayu (M) Berhad juga membuka gerai jualan majalah dan akhbar serta studio mini bagi membolehkan orang ramai bergambar seperti di dalam majalah dengan harga berpatutan.
“Sambutan pada karnival kali ini begitu baik dan diharapkan agar karnival seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memberi faedah kepada lebih ramai pelajar serta ibu bapa,” katanya.
Katanya, selain MARA sebagai penganjur utama, karnival selama dua hari itu turut mendapat tajaan daripada Adabi, Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Selangor dan Melaka Wonderland.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/karnival-pendidikan-MARA-capai-matlamat-1.231142

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.