Penstrukturan semula pastikan MARA relevan

Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula MARA bertujuan memastikan agensi itu mampu meneruskan usaha membantu rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan dan keusahawanan. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata kementeriannya menyokong MARA terus diperkukuhkan, terutama program keusahawanan dan pendidikan bagi memastikan agensi itu terus relevan, khususnya bagi golongan belia. “Saya faham kerajaan, khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sentiasa ke depan dalam memastikan pinjaman pendidikan dikekalkan, selain pinjaman kepada peniaga muda dapat diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini. Penstrukturan semula MARA yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, merangkumi lima langkah persediaan untuk mengukuhkan hala tuju agensi berkenaan bagi menghadapi cabaran untuk 50 tahun akan datang. Sementara itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO dan Pengerusi Pemuda BN, membidas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendakwa MARA akan lebih baik di bawah pentadbiran pakatan pembangkang. Beliau berkata, MARA sudah membantu ramai rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek, sekali gus bukti kejayaan dan prestasi agensi berkenaan di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada. “Dia kena spesifik dengan apa yang dimaksudkan dengan menambah baik. MARA sudah bantu ratusan ribu rakyat Malaysia, termasuk saya. Saya dapat pinjaman MARA ketika mahu melanjutkan pelajaran di universiti, saya produk MARA dan bangga dengannya. “Memang masih banyak penambahbaikan boleh dilaksanakan terhadap MARA dan itulah yang sedang kerajaan lakukan,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/140732

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.