MARA tetap perjuangkan pendidikan

Ismail Sabri Yaakob (kiri) mencuba nasi segera produk keluaran Syarikat Sharifah ketika hadir ke program Bizchanel@Mara Jubli Emas sempena sambutan 50 tahun Mara di Medan Mara, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Pengarah Urusan Sharifah, Rohani Borhan (dua dari kiri). UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Ismail Sabri Yaakob (kiri) mencuba nasi segera produk keluaran Syarikat Sharifah ketika hadir ke program Bizchanel@Mara Jubli Emas sempena sambutan 50 tahun Mara di Medan Mara, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Pengarah Urusan Sharifah, Rohani Borhan (dua dari kiri). UTUSAN/FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR 5 April – Mara tetap meneruskan tanggungjawab mereka bagi membantu masyarakat bumiputera dan masih memperjuangkan pendidikan, selaras dengan matlamat asal penubuhan entiti itu.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penstrukturan se­mu­la Mara yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam tidak sekali-kali menjejaskan tanggungjawab entiti itu dalam bidang pendidikan.
“Mara akan tetap menjalankan tanggungjawab yang menumpukan kepada dua perkara iaitu membantu masyarakat bumiputera dari aspek pendidikan serta membangunkan lebih ramai usahawan Melayu.
“Penubuhan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) yang di­umumkan Perdana Menteri semalam merupakan entiti lain dan melibatkan 100 peratus perniagaan tanpa mengganggu bantuan pendi­dikan kepada bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia apabila diminta mengulas berhubung sama ada penstrukturan semula Mara tidak akan menjejaskan matlamat utama entiti itu dalam membantu bumiputera dengan terlalu menumpukan kepada aspek perniagaan dan komersial.
Semalam, Najib mengumumkan Mara akan menstruktur semula anak syarikatnya melalui penubuh­an Mara Corp. Sdn. Bhd. iaitu sebuah GLIC dengan nilai semasa sebanyak RM1.4 bilion.
Terdahulu, Ismail Sabri meng­adakan lawatan ke gerai-gerai pameran dan jualan sempena program Biz Channel Mara yang berlangsung hingga esok.
Program tersebut adalah anjuran Sektor Keusahawanan Mara dan dikelolakan Pejabat Mara Ne­geri Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Pejabat Mara Selangor dan Negeri Sembilan serta melibatkan 65 pempamer.
Sementara itu, beliau berharap supaya dengan tertubuhnya GLIC itu, anak syarikat akan maju dan menjadi lebih berkemampuan pa­da hadapan serta mampu membantu Mara dalam menjalankan tanggungjawab secara menyeluruh.
“Katakanlah jika berlakunya ekonomi teruk, anak-anak syarikat ini yang kian maju serta menerima keuntungan boleh membantu Mara untuk menampung segala pembiayaan oleh agensi itu terhadap bumiputera,” jelasnya.
Dalam pada itu beliau memberitahu, penubuhan sebuah syarikat iaitu Rural Capital Bhd. bagi menguruskan fungsi pengagihan pinjaman perniagaan oleh agensi tersebut merupakan permulaan bagi mewujudkan institusi kewangan oleh Mara.
“Itu (penubuhan Rural Capital Bhd.) merupakan satu permulaan kepada jalan yang masih jauh lagi untuk mewujudkan institusi kewangan dan realiti terjadinya perkara itu bergantung kepada pi­hak Bank Negara Malaysia (BNM).
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mara-tetap-perjuangkan-pendidikan-1.212618

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.