PM umum 5 langkah majukan MARA

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucaptama ketika hadir di Majlis Sempena 50 Tahun MARA di Premiera Hotel. - Foto Yazit Razali

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyampaikan ucaptama ketika hadir di Majlis Sempena 50 Tahun MARA di Premiera Hotel. – Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan lima langkah persediaan untuk mengukuhkan lagi Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menghadapi cabaran untuk 50 tahun akan datang. Perdana Menteri berkata, pertama semua anak syarikat MARA akan distruktur semula dan diletakkan di bawah satu syarikat dikenali sebagai MARA Corporation dengan modal berbayar RM1.4 bilion. “Pengstrukturan ini tanpa peruntukan tambahan daripada kerajaan dan dilaksanakan bagi membolehkan pengurusan dan tadbir urus anak syarikat MARA lebih teratur dan kemas,” katanya berucap merasmikan sambutan 50 tahun MARA di Hotel Premiera di sini hari ini. Najib turut mengumumkan penubuhan Rural Capital Berhad syarikat yang memberi khidmat pembiayaan kewangan dan bantuan serta nasihat keusahawanan kepada usahawan Melayu dan Bumiputera. Katanya, bagi pembangunan insan pula MARA akan mempunyai satu lagi universiti dikenali sebagai UniMARA yang menawarkan kursus bukan berasaskan teknikal dan vokasional (Tvet). “MARA kini ada UniKL yang menawarkan kursus Tvet. Dengan adanya universiti MARA dapat memberi peluang lebih ramai melanjutkan pelajaran dalam bidang bukan Tvet. “MARA juga akan terus memberi pembiayaan untuk pelajar sedia ada meneruskan pengajian dan bantuan untuk pelajar melanjutkan pelajaran. Keutamaan untuk pelajar menuntut di universiti tempatan,” katanya. Najib berkata, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) akan diubah kepada Yayasan MARA bagi membolehkan yayasan itu meluaskan bantuannya dan tidak hanya tertumpu kepada pelajaran saja. “Yayasan MARA boleh menghulurkan bantuan kebajikan lain seperti bantuan bencana alam. Untuk itu yayasan ini diberikan dana sebanyak RM800 juta,” katanya. Akhir sekali, katanya, sebagai simbol kewujudan 50 tahun MARA yang menyumbang banyak kepada orang Melayu dan Bumiputera maka Jalan Semarang antara Kompleks Pertama dan Medan MARA ditukar kepada Jalan MARA.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/140437

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.