Karnival Pendidikan MARA dapat sambutan hangat di Johor

kpm johor

JOHOR BAHRU 2 April – Seba­nyak 10,000 pengunjung dijangka menghadiri Karnival Pendidikan Mara 2016 yang berlangsung selama dua hari di Padang C, Angsana Johor Bahru Mall di sini bermula hari ini.

Karnival anjuran Maj­lis Amanah Rakyat (Mara) dengan kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi itu bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang setiap hari.

Pegawai Pendidikan dan Latihan Mara nege­ri, Azhari Nawawi berkata, karnival itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma mengenali institusi-institusi pendidikan milik agensi itu secara lebih dekat.

“Selain institut-institut pendi­dik­an di bawah Institut Pendidikan Mara (Ipma), karnival ini turut disertai 68 pempamer daripada institusi pengajian tinggi swasta lain yang mempunyai kaitan dengan Mara.

“Pelajar bukan sahaja diberi pendedahan mengenai bidang pengajian tinggi yang disediakan, malah pem­pamer turut membuat temuduga terbuka bagi pengambilan baharu sesi kemasukan Jun/Julai 2016 bagi lepasan SPM dan STPM serta sesi kemasukan Ogos/September 2016 bagi lepasan diploma,” katanya ditemui di sini hari ini.

Azhari berkata, pi­hak­nya turut mengundang Perba­danan Tabung Pendidikan Tinggi Na­sional (PTPTN) bagi memberi pen­dedahan kepada pengunjung mengenai tawaran pinjaman yang disediakan agensi berkenaan.

Katanya, selain daripada pa­me­ran, karnival itu juga menganjurkan Bengkel Wartawan Kadet yang dikelolakan Pengarang Kanan Unit Media Baharu Utusan, Gamal Nasir Mohd. Ali dan disertai sebanyak 50 peserta.

Sementara itu, Ahli Majlis Mara, Datuk Ariss Samsuddin turut hadir bagi meninjau pameran pendidikan yang disediakan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan dan Perdagangan Bumiputera Mara melahirkan rasa bangga dengan penyertaan institusi pengajian tinggi pada karnival dua hari tersebut.

Bagi penuntut Sijil Pendawai­an Elektrik GiatMara Kluang, Muhammad Safwan Shamshudin, 18, dia menyertai karnival itu kerana ingin mendapatkan tawaran me­lanjutkan pengajian di peringkat diploma.

“Karnival ini ternyata banyak memberi faedah kepada golo­ngan pelajar seperti saya kerana ia diibaratkan seperti pusat sehenti bagi mendapatkan pelbagai maklumat mengenai program yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi.

“Saya juga berkesempatan me­nghadiri temuduga secara terbuka dan berharap dapat melanjutkan pengajian di peringkat diploma di bawah Ipma pada masa depan,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/karnival-pendidikan-mara-dapat-sambutan-hangat-di-johor-1.207838#sthash.4OPXApUP.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: