TANJAK bantu pendidikan Melayu, Bumiputera

ypm tanjak

KUALA LUMPUR: Tabung Lonjakan Pendidikan Melayu dan Bumiputera (TANJAK) dilancarkan hari ini, bertujuan membantu mengumpul dana bagi keperluan masa depan pendidikan anak Melayu dan Bumiputera.

Pelancarannya disempurnakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) merangkap Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Tan Sri Annuar Musa.

Tabung itu menetapkan enam skop sasaran penyumbang iaitu daripada komuniti MARA sendiri, komuniti Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

YPM selaku badan pengurus tabung itu, turut bercadang mengadakan pertemuan tahunan antara penyumbang dan penerima bantuan sebagai sebahagian daripada proses ketelusan dan integriti dalam mengurus pengagihan dana TANJAK.

Konsep TANJAK adalah 70 peratus daripada dana diterima digunakan bagi Program Modal Insan YPM seperti Program Transformasi Kecemerlangan Pelajar.

Ia merangkumi Program Tuisyen UPSR, kelas bimbingan YPM-MRSM (Maktab Rendah Sains MARA)/SBP (Sekolah Berasrama Penuh)/SBT (Sekolah Berprestasi Tinggi), skim bantuan persekolahan dan program pendidikan tertiari. Sementara, 30 peratus lagi akan digunakan untuk tujuan pelaburan bagi menambah dana sedia ada dalam TANJAK.

Hasil pelaburan akan menggunakan konsep Tabung TANJAK iaitu 70 peratus untuk Program Modal Insan YPM dan 30 peratus bagi pelaburan semula. Ismail Sabri dalam ucapannya, menganggap tabung itu sebagai jihad memerangi keciciran pendidikan masyarakat luar bandar, khususnya yang tidak berkemampuan.

“TANJAK diharap menjadi penyelesaian permasalahan membabitkan keciciran pendidikan yang masih membelenggu masyarakat Melayu dan Bumiputera,” katanya. Sejak dimulakan tiga minggu lalu, katanya, TANJAK sudah mengutip RM3.2 juta.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/139194

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.