32,000 serbu Karnival Pendidikan Mara Pahang

kpm kuantanKUANTAN 27 Mac – Karnival Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Pahang 2016 mendapatkan sambutan memberangsangkan apabila dianggarkan lebih 32,000 pengunjung menghadiri program dua hari ber­kenaan yang berakhir hari ini.
Pengarah Mara negeri, Kamaruddin Awang berkata, selain penduduk negeri ini, terdapat juga pengunjung dari Kemaman dan Dungun di Terengganu menghadiri karnival itu yang diadakan di kompleks beli-belah Berjaya Megamall di sini.
“Sebahagian besar pengunjung adalah pelajar terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Reaksi yang kita terima begitu baik sekali dan mereka yang hadir memproleh maklumat secara terus daripada 80 pempamer yang terdiri daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta Institusi Pendidikan Mara (Ipma),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Karnival anjuran Mara dengan kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar terutama lepasan SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta ibu bapa untuk mengenali institusi-institusi pendidikan milik agensi tersebut dengan lebih dekat.
Program itu turut mendapat kerjasama Adabi Sdn. Bhd., Permodalan Nasional Berhad, Pusat Kutipan Zakat Selangor dan Melaka Wonderland.
Kamaruddin berkata, reaksi yang diterima daripada pempamer juga baik yang mana mereka ber­puas hati dengan penganjuran karnival berkenaan.
“Karnival ini merupakan acara tahunan yang bertujuan memberi pendedahan dan maklumat tentang peluang pendidikan dan latihan terutama kepada pelajar lepasan sekolah dan ibu bapa,” katanya.
Sementara itu, pempamer dari Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuantan menyifatkan program sedemikian begitu baik dalam memberi maklumat tentang peluang pendidikan kepada pelajar di negara ini.
Penolong Pensyarah (Kejuruteraan Elektrik) KPTM Kuantan, Ahmad Fairuz Hasan berkata, sambutan begitu menggalakkan dan lebih 250 permohonan diterima untuk memasuki kolej itu pada karnival berkenaan.
“Kita akan proses kesemua permohonan ini dan bagi mereka yang layak kita akan terus hantar surat tawaran,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Urusan Pelajar Mara, Salmah Hassan berkata, ramai yang berminat untuk mengikuti kursus yang ditawarkan agensi berkenaan antaranya di Institut Kemahiran Mara (IKM) dan KPTM.
Seorang bekas pelajar SPM, Nurazrin Syazwan Mohd. Nor, 18, pula berkata, dia membuat permohonan untuk menyambung pelajaran di IKM kerana meminati bidang kemahiran.
– Sumber: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/32-000-serbu-karnival-pendidikan-mara-pahang-1.205570

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.