Stesen TV luar bandar 2019

Ismail Sabri Yaakob menyaksikan pertukaran MoU antara Mohd. Arif Ab. Rahman (dua dari kiri) dengan Hilmi Mohd. Noor di Putrajaya, semalam. BERNAMA

Ismail Sabri Yaakob menyaksikan pertukaran MoU antara Mohd. Arif Ab. Rahman (dua dari kiri) dengan Hilmi Mohd. Noor di Putrajaya, semalam. BERNAMA

PUTRAJAYA 21 Mac – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bakal memiliki saluran televisyen sendiri selepas mena­n­­datangani memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat penyiaran, MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. (MYTV) untuk menyiar­kan kandungan serta maklumat mengenai kementerian itu kepada rakyat.
MoU itu menjadikan kementerian itu yang pertama bakal memiliki saluran televisyen sendiri bagi menyiarkan rancangan berbentuk dokumentari, wawancara, rencana dan berita.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rancangan televisyen tersebut akan mula bersiaran secara rasmi dalam tempoh tiga tahun lagi dengan menggunakan perkhidmatan Penyiaran Televisyen Digital Terestrial (DTT).
“Platform ini merupakan rangkaian baharu bagi menggantikan sistem penyiaran nasional daripada analog kepada digital menje­lang tahun 2018.
“Jalinan kerjasama ini antara komitmen kementerian dalam usaha membandarkan luar bandar menerusi saluran khas luar bandar dan memberi peluang kepada penduduk tersebut mendapatkan pelbagai maklumat mengenai usaha kerajaan untuk membantu mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis MoU tersebut di bangunan kementerian itu, di sini hari ini.
MoU tersebut ditandatangani antara Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman dan Pengerusi MYTV, Datuk Hilmi Mohd. Noor.
Terdahulu berlangsung perhim­punan bulanan dan sambutan ulang tahun kelahiran pegawai-pegawai kementerian.
Menurut Ismail Sabri, penggunaan platform tersebut memberi peluang kepada penduduk luar bandar mendapatkan akses kepada perkhidmatan televisyen dengan kualiti gambar dan bunyi lebih baik, lebih banyak saluran percuma dan meliputi sebanyak 98 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, kementerian tetap komited meneruskan pelbagai projek untuk kepentingan rakyat biar pun perbelanjaan untuk kementerian dipotong lebih RM1 bilion dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 yang dibentangkan baru-baru ini.
“Kita akan meneruskan pelbagai program untuk rakyat terutama bagi mempertingkatkan taraf kehidupan rakyat dan memastikan perancangan projek berdasarkan kepada kehendak serta keperluan rakyat.
“Antaranya, meningkatkan pendapatan pekebun di luar bandar dengan mengusahakan tanaman atau produk lain, menjadikan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) sebagai pusat pengumpulan produk milik usahawan desa dan menaik taraf kemudahan asas di luar bandar,” katanya.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/stesen-tv-luar-bandar-2019-1.203246

Advertisements
This entry was posted in Pelaburan. Bookmark the permalink.