Mara tawar peluang pekerjaan dalam industri rel

kereta api lajuKUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjanjikan peluang pekerjaan yang luas berikutan pemintaan yang tinggi terhadap industri rel terutamanya selepas pelaksanaan Projek Kereta Api Laju antara Kuala Lumpur dan Singapura yang akan beroperasi dalam beberapa tahun lagi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut Mara terus melebarkan sayapnya dengan menubuhkan Institut Rel Asia menerusi kerjasama antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kyushu Rail Company (JR Kyushu).

“Institut tersebut yang dijangka beroperasi di UniKL Iprom, Cheras pada September depan bakal melahirkan siswazah

dalam bidang industri rel yang akan diiktiraf melalui sijil yang dikeluarkan oleh syarikat Jepun berkenaan.

“Dengan tumbuhnya industri rel yang semakin pesat di negara ini seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan yang terbaru projek Kereta Api Laju antara Kuala Lumpur dan Singapura bakal memberikan peluang pekerjaan yang tinggi kepada lepasan pelajar institut berkenaan,” katanya di sini tadi.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menandatangani Surat Hasrat ( LOI) antara UniKL bersama JR Kyushu.

Turut hadir Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad, Ketua Pengarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud dan Presiden JR Kyushu, Toshihiko Aoyagi. – K! ONLINE

Advertisements
This entry was posted in Pelaburan. Bookmark the permalink.