Rebut peluang lanjut pengajian

Abu Azam Md. Yassin

Abu Azam Md. Yassin

ALOR SETAR 12 Mac – Karnival Pendidikan Mara 2016 Peringkat negeri yang diadakan selama dua hari bermula hari ini di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini dijangka mampu menarik kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung.

Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara), Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md. Yasin berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk mengintai peluang melanjutkan pelajaran. “Sebanyak 75 daripada 80 ge­rai yang dibuka dalam karnival ini disertai institusi pengajian tinggi dari seluruh negara. Jadi, pelajar lepasan SPM dan STPM ini boleh mendapatkan maklumat mengenai bidang yang digemari. “Selain menyemak syarat kelayakan bagi memohon kursus yang diminati, mereka juga boleh mengemukakan permohonan secara terus di gerai-gerai ber­kenaan,” katanya selepas majlis pelancaran karnival tersebut. Yang hadir sama, Pengarah Mara negeri, Fuziah Ahmad. Tambah Abu Azam, penganjuran karnival itu juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mengetahui mengenai kursus-kursus yang ditawarkan di institusi pendidikan Mara se­perti GiatMara, Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Profesional Mara, Kolej Poly-Tech Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Universiti Kuala Lumpur. Sementara itu, Fuziah memberitahu, sempena penganjuran karnival itu, pihak IKM Kedah turut membuka pengambilan bagi kemasukan April ini. “Memandangkan kita masih ada kekosongan sebanyak 40 peratus pada April ini, kita ingin memberi peluang kepada pe­ngunjung yang berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang kemahiran. “Antara jurusan yang masih mempunyai kekosongan adalah lukisan seni bina, lukisan struktur dan perabot. Kekosongan ini kera­na masih kurang kesedaran tentang peluang dan potensi dalam bidang-bidang kemahiran ini,” ujarnya. Jelasnya, bidang kemahiran juga mempunyai potensi besar kerana kira-kira 85 peratus pelajar lepasan IKM dari seluruh negara berjaya menyambung pengajian, mendapat pekerjaan mahupun menjadi usahawan. Selepas Kedah dan Sarawak, karnival tersebut akan diadakan di Pulau Pinang, Pahang, Perak, Johor, Sabah, Terengganu. Melaka dan berakhir di Selangor pada 16 dan 17 April ini.
– Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rebut-peluang-lanjut-pengajian-1.200050

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.