Bantu lepasan sekolah pilih pusat pengajian

ORANG ramai mengunjungi gerai pameran yang menempatkan pelbagai institut pengajian dibawah Mara sempena Karnival Pendidikan Mara 2016 peringkat negeri di Dewan Besar MBAS, Alor Setar, Kedah, semalam. MINGGUAN/SAFRIZAL AZMI

ORANG ramai mengunjungi gerai pameran yang menempatkan pelbagai institut pengajian dibawah Mara sempena Karnival Pendidikan Mara 2016 peringkat negeri di Dewan Besar MBAS, Alor Setar, Kedah, semalam. MINGGUAN/SAFRIZAL AZMI

ALOR SETAR 12 Mac – Karnival Pendidikan Mara 2016 yang bermula hari ini mendapat sambutan hangat daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Tinjauan Mingguan Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini mendapati ramai belia termasuk ibu bapa yang hadir menemani anak mereka bagi mencari peluang terbaik untuk me­nyambung pengajian.
Program yang berlangsung selama dua hari itu disertai kira-kira 75 institusi pengajian tinggi yang bersedia memberi penerangan mengenai program-program yang ditawarkan dan syarat-syarat kemasukan.
Salah seorang pengunjung, Mastura Zulkifli, 18, berkata, dia sedang mencari institusi pengajian yang sesuai untuk menyambung pengajian dalam bidang kejururawatan.
“Kalau boleh, saya mahu mencari pusat pengajian kendalian kerajaan untuk menyambung pengajian dalam bidang tersebut. Menerusi pameran ini, sedikit sebanyak membantu saya mendapatkan maklumat mengenai bidang kejururawatan,” ujarnya ketika ditemui.
Sementara itu, Husna Athirah Hasaruddin, 18, memberitahu, tujuannya datang ke karnival tersebut adalah untuk mencari penaja bagi melanjutkan pengajian ke luar negara dalam jurusan veterinar.
“Saya memang berhasrat untuk menyambung pelajaran ke luar negara, jadi saya datang ke sini untuk mendapatkan maklumat tentang tawaran biasiswa. Selain itu, saya juga mahu mendapatkan maklumat tentang pengajian veterinar di Universiti Putra Malaysia,” katanya.
Kata Muhamad Tarmizi Osman, 18, dia telah menghantar permohonan untuk menyambung pengajian di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) ketika berkunjung ke ruang pameran institusi pengajian tersebut.
“Saya berharap dapat me­nyambung pengajian dalam bidang teknologi maklumat. Penganjuran karnival ini sangat membantu saya mendapatkan maklumat lanjut mengenai jurusan tersebut dan syarat kelayakan yang diperlukan,” ujarnya.
Sementara itu di SARAWAK, Pegawai Latihan Mara negeri, Gita Omar berkata, sebanyak 48 pempamer menyertai karnival itu.
“Seramai 5,000 pengunjung dijangka mengunjungi karnival yang akan berlangsung sehingga pukul 6 petang esok.
“Kuching, Sarawak merupakan lokasi ketiga karnival yang berlangsung serentak di Kedah Darul Aman setelah lokasi Kuala Lumpur dan Kelantan mendapat sambutan hangat daripada lepasan SPM dan STPM,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seramai 50 peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang menyertai Bengkel Wartawan Kadet Utusan sempena Karnival Pendidikan Mara 2016 yang berlangsung di Hills Shopping Centre, Kuching tersebut.
Dengan tajuk Online Journalisme (Kewartawanan Dalam Talian) yang disampaikan Pengarang Kanan Media Baharu Utusan Malaysia, Gamal Nasir Mohd. Ali, bengkel selama dua jam itu antara lain menerangkan cabaran wartawan masa kini.
Salah seorang peserta, Siti Nor Aleeza EasKandar, 18, berkata, sebagai penuntut bidang Fotografi di Giat Mara Siolkandis, Kuching, dia menyertai bengkel berkenaan untuk menambah pengetahuan.
“Memandangkan bidang Fotografi dan bidang kewartawanan se­ring berhubung kait, saya mengambil peluang menyertai bengkel percuma yang dianjurkan Utusan ini bagi mendapatkan maklumat lebih tepat tentang kewartawanan,” katanya.
Semua peserta turut menerima cenderamata dari ADABI selain baucar diskaun 20 peratus untuk ma­suk ke Taman Tema Melaka Wonderland.
Selain Bengkel Wartawan Kadet, sempena karnival itu, Utusan Malaysia juga menyediakan aktiviti lain seperti penebusan produk eks­klusif, cabutan bertuah dan jualan produk terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan Utusan pada harga diskaun 25 peratus.
Paling istimewa, langganan akhbar digital Utusan ditawarkan pada harga serendah RM10 sempena karnival ini.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/bantu-lepasan-sekolah-pilih-pusat-pengajian-1.200054

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.