Sambutan pengunjung cukup menggalakkan

Pengunjung di Karnival Pendidikan MARA Negeri Kelantan

Pengunjung di Karnival Pendidikan MARA Negeri Kelantan

KOTA BHARU 10 Mac – Karnival Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) 2016 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini yang berakhir hari ini mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada pengunjung.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pengunjung yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta pemegang diploma tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan maklumat mengenai program yang ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi.
Karnival dua hari yang bermula semalam turut memberi peluang kepada pengunjung memohon biasiswa yang disediakan untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pengarah Mara negeri, Ismail Abdullah berkata, karnival anjuran Mara dengan kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi itu dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar untuk memilih peluang bagi menyambung pelajaran untuk masa depan.
Beliau berkata, sebanyak 90 gerai pameran pendidikan disediakan untuk karnival kali ini yang membabitkan institusi pengajian tinggi serta kolej di bawah Mara manakala 35 gerai pameran lagi membabitkan usahawan.
“Di sini juga ada kaunselor serta pakar-pakar dari institusi pengajian tinggi yang akan memberi penerangan sec ara langsung mengenai kursus yang sesuai dengan tahap akademik pelajar.
“Selain itu, pelajar juga dapat membuat permohonan secara langsung serta dapat mengetahui penajaan yang ditawarkan serta kelayakannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lepasan SPM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Chengal, Nurul Zawani Ajizi, 18, berkata, karnival itu amat membantunya dalam memilih institusi pengajian yang sesuai.
“Di sini saya mendapat banyak maklumat berkaitan bidang pengajian yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi khususnya di bawah Mara,” katanya.
Salsabila Mat Khatib,18, pula berkata, ini adalah kali pertama dia berkunjung ke Karnival Pendidikan Mara dan banyak maklumat yang diperolehnya.
“Penerangan yang diberikan oleh wakil-wakil institusi pengajian tinggi membantu saya memilih bidang yang sesuai dengan kelayakan saya,” katanya.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sambutan-pengunjung-cukup-menggalakkan-1.199401

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.