KUPTMKL lancar Tabung Kebajikan Mahasiswa

Ahmad Nazlan Idris (dua dari kanan) memasukkan sampul berisi wang ke dalam tabung sebagai gimik Pelancaran Tabung Kebajikan Mahasiswa Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, semalam.

Ahmad Nazlan Idris (dua dari kanan) memasukkan sampul berisi wang ke dalam tabung sebagai gimik Pelancaran Tabung Kebajikan Mahasiswa Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 10 Mac – Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTMKL) melancarkan Tabung Kebajikan Mahasiswa KUPTMKL dalam usaha menjaga kebajikan pelajar dengan memastikan pengajian mereka berjalan lancar tanpa mempunyai sebarang kekangan.
Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Ahmad Nazlan Idris berkata, usaha itu secara tidak langsung dapat merealisasikan objektif memberikan latihan dan pembangunan keusahawanan serta ruang berniaga selesa kepada mahasiswa yang berminat.
“Inisiatif KUPTMKL ini adalah selaras dengan saranan kerajaan untuk meningkatkan jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang kini tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup.
“Ada juga yang mahu pihak universiti lebih proaktif mengesan mahasiswa yang sedang kelaparan, malah mahu universiti memberikan bantuan modal serta ruang untuk mahasiswa berniaga bagi menambah pendapatan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melancarkan majlis Pelancaran Tabung Kebajikan Mahasiswa KUPTMKL dan seterusnya, para pelajar diberi makanan tengah hari secara percuma yang dikelolakan pensyarah dari Fakulti Pengkomputeran dan Sains Teknologikal serta Fakulti Perniagaan dan Perakaunan.
Yang turut hadir Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar (HEP) KPTM, Ramli Mohd. Jawi; Timbalan Presiden Akademik KPTM, Ismail Junuh; Timbalan Naib Canselor HEP dan Alumni KUPTMKL, Dr. Mohd Haizam Mohd. Saudi serta Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan KUPTMKL, Prof. Dr. Khairul Bahrein Mohd. Noor.
Menurut Ahmad Nazlan, tujuan utama mewujudkan tabung kebajikan tersebut adalah untuk membantu mahasiswa yang menghadapi masalah kewangan serta pembiayaan pembelajaran yang tidak mencukupi.
“Objektif utama adalah untuk mengumpul dana sama ada dalam bentuk wang ringgit atau makanan bagi diagihkan kepada semua mahasiswa yang memerlukan. Selain itu, mendapatkan kerjasama daripada seluruh warga KUPTMKL dan KPTM untuk memberi sumbangan bagi membantu mahasiswa, sekali gus mewujudkan sifat prihatin terhadap masalah yang dihadapi mereka.
“Seluruh cawangan KPTM telah pun mempunyai tabung kebajikan ini untuk membantu mereka yang memerlukan, cuma pada hari ini, kita merasmikan sahaja. Isu pelajar kelaparan tidak sepatutnya berlaku dan ini hanyalah antara kaedah yang digunakan untuk membantu mahasiswa,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Nazlan turut menyatakan sasaran beliau supaya seluruh cawangan KPTM bakal menjadi universiti seperti KUPTMKL dalam tempoh lima tahun lagi.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kuptmkl-lancar-tabung-kebajikan-mahasiswa-1.199248

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.