Karnival Pendidikan Mara di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV hari ini

Kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad membuat persiapan terakhir di 'Booth' Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menjelang Karnival Pendidikan MARA 2016 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAN/Wahidin Salim

Kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad membuat persiapan terakhir di ‘Booth’ Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia menjelang Karnival Pendidikan MARA 2016 di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAN/Wahidin Salim

KOTA BHARU 8 Mac – Orang ramai terutama pelajar le­pasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dijemput hadir me­meriahkan Karnival Pen­didikan Mara 2016 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini bermula esok sehingga Khamis.
Karnival anjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi itu diadakan bagi memberikan pendedahan kepada pelajar dan juga ibu bapa untuk mengenali institusi-institusi pendidikan milik agensi tersebut de­ngan lebih dekat.
Ini akan memudahkan golo­ngan itu melanjutkan pelajaran kerana Institusi Pendidikan Mara (Ipma) menyediakan pelbagai bidang pengajian tanpa mengira keputusan kedua-dua peperiksaan tersebut.
Pada masa yang sama, pelbagai acara menarik akan diadakan di karnival tersebut terutama di ruang pameran Utusan Malaysia.
Eksekutif Pengurusan Jenama Utusan Melayu (Malaysia) Bhd., Hazwan Hairul berkata, sempena karnival itu juga semua produk keluaran syarikat tersebut akan dijual dengan ‘harga runtuh’.
Beliau berkata, setiap pembe­lian melebihi RM5 ke atas, pe­ngujung berpeluang untuk mendapatkan cabutan bertuah yang diadakan sebanyak empat sesi sehari.
“Selain itu, kita akan mengadakan Bengkel Wartawan Kadet bermula daripada pukul 10 pagi sehingga 12.30 te­ngah hari esok dan bengkel yang dikendalikan oleh wartawan kanan ini terbuka kepada semua.
“Ini adalah peluang bagi mereka terutama go­longan remaja yang bercita-cita menjadi wartawan untuk mendapatkan pendedahan awal mengenai kerjaya tersebut dan teknik asas penulisan berita,” katanya di sini hari ini.
Hazwan berkata, paling istimewa, Utusan Malaysia juga akan membuka mini studio sepanjang karnival itu berlangsung.
“Pengunjung boleh mengambil gambar di mini studio ini dengan harga RM10 sekeping dengan kua­liti serta bingkai gambar itu seperti akhbar Utusan Malaysia.
“Gambar ini akan diambil oleh jurugambar profesional Utusan Malaysia yang dibawakan khas dari Kuala Lumpur,” katanya.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/karnival-pendidikan-mara-di-stadium-sultan-muhammad-ke-iv-hari-ini-1.198580

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.