Lebih 100 IPT termasuk universiti awam sertai karnival

Orang ramai mengunjungi tapak Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk mengetahui peluang melanjutkan pengajian dalam bidang bersesuaian sempena Karnival Pendidikan Mara di Kuala Lumpur, semalam. utusan/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

Orang ramai mengunjungi tapak Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk mengetahui peluang melanjutkan pengajian dalam bidang bersesuaian sempena Karnival Pendidikan Mara di Kuala Lumpur, semalam. utusan/MOHD. NAJIB MOHD. NOR

KUALA LUMPUR 6 Mac. – Majlis Amanah Rakyat (Mara) terus menyediakan platform terbaik kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi melanjutkan pembelajaran ke peringkat yang lebih tinggi melalui penganjuran Karnival Pendidikan Mara 2016 hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Korporatnya, Maimun Shamsuddin berkata, karnival itu bertujuan mendekatkan pengunjung terutamanya lepasan SPM dan STPM dengan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan di negara ini.
Katanya, Mara membuka peluang kepada semua pengunjung yang hadir sama ada memperoleh keputusan yang cemerlang atau sebaliknya untuk memohon pe­nempatan di IPT yang terpilih pada karnival tersebut.
“Kami menyediakan saluran kepada pelajar lepasan SPM dan STPM untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan tidak mengehadkan kepada mereka yang pandai sahaja untuk meneruskan pengajian.
“Mara juga menyediakan pilihan kursus dalam pelbagai bidang dari peringkat sijil hinggalah ke Doktor Falsafah (Ph.D) daripada 50 buah IPT yang terbabit pada hari ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bersempena dengan ulang tahun ke-50 Mara, karnival tersebut bakal dijalankan secara bergilir di 12 lokasi di seluruh negara yang berjalan pada setiap Sabtu dan Ahad selama dua bulan bermula Februari lalu sehingga 17 April ini.
Sebanyak lebih 100 buah IPT termasuk universiti awam dan swasta terlibat dalam penganjuran karnival yang mendapat tajaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sime Darby (YSD) itu.
Tambah Maimun, pihaknya mengharapkan sambutan yang hangat daripada setiap lokasi yang akan dikunjungi oleh mereka kelak bagi membantu lepasan STPM dan SPM melanjutkan pengajian.
“Mara menyasarkan bilangan pengunjung menjangkau hingga ke 200,000 orang di 12 lokasi kelak dan seperti yang kita lihat hari ini, sambutan orang ramai begitu menggalakkan.
“Saya juga ingin mengingatkan lepasan STPM dan SPM agar tidak khuatir sekiranya tidak mempunyai saluran yang betul untuk menyambung pengajian kerana dalam karnival ini, kami akan cuba sedaya upaya untuk membantu mencapai keinginan anda,” katanya.
– Sumber: http://http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/lebih-100-ipt-termasuk-universiti-awam-sertai-karnival-1.197933

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.