Kerjasama Mara dan Prasarana bakal hasil tenaga pakar teknologi Rel

Ismail Sabri (tengah belakang) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UniKL dengan Rapid Rail Sdn. Bhd.

Ismail Sabri (tengah belakang) menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UniKL dengan Rapid Rail Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) melalui Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad bakal membangunkan Akademi Rel yang bakal menghasilkan tenaga pakar dalam industri teknologi rel negara selepas menandatangani memorandum persefahaman antara dua agensi berkenaan.

Program berkenaan akan menawarkan silibus-silibus akademik berkaitan industri rel selain menyediakan kepakaran teknikal tentang sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT) dan monorel.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya menjangkakan seramai 500 pelajar setahun untuk menyertai program tersebut.

“Pelajar yang menyertai kursus berkenaan akan menghadiri sesi teori selama enam bulan sebelum dihantar menjalani latihan industri selama enam bulan di Depoh Rapid Rail yang terletak di Subang.

“Pembangunan projek ini adalah pada waktu yang bersesuaian memandangkan kerangka industri ‘Malaysia Rail Supporting Industry Roadmap’ (MRSIR) telah menyasarkan kekosongan yang tinggi dalam bidang penyelenggaraan dan pemulihan sehingga tahun 2030,” jelasnya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara UniKL dan Rapid Rail Sdn. Bhd. di Menara UOA, di sini, sebentar tadi.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn. Bhd., Ahmad Nizam Mohd. Amin dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad.

– Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_19.htm

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.