GLC, kerajaan negeri digalak taja pembinaan MRSM

 Ismail Sabri Yaakob (lima kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima anugerah dari MRSM Tun Mustapha, Tawau pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Peringkat Negeri Sabah dan Labuan di Kota Kinabalu, semalam.


Ismail Sabri Yaakob (lima kanan) beramah mesra dengan sebahagian penerima anugerah dari MRSM Tun Mustapha, Tawau pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Peringkat Negeri Sabah dan Labuan di Kota Kinabalu, semalam.

KOTA KINABALU 29 Feb.– Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan mengadakan perbincangan bersama ‘pemain utama’ syarikat milik kerajaan (GLC) bagi menggalakkan pihak berkenaan mengambil bahagian menaja pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selain GLC, kerajaan negeri termasuk agensi-agensi kerajaan juga perlu memainkan peranan sedemikian khususnya dalam mempercepatkan proses pembinaan maktab terbabit.
“Dari segi bajet, secara puratanya kita mampu membina tiga ke empat buah MRSM setahun, sedangkan permintaan cukup tinggi. Setiap kali sidang Dewan Rakyat, kebanyakan wakil rakyat meminta MRSM dibina di kawasan masing-masing.
“Tetapi apabila kita umumkan pembinaan seperti MRSM Lawas, bukan boleh disegerakan, ada banyak proses yang diperlukan seperti pengambilalihan tanah. Begitu juga MRSM Integrasi Labuan yang berdepan masalah tanah. Paling cepat (proses pembinaan) jika GLC tampil menaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Peringkat Negeri Sabah dan Labuan di sini hari ini.
Seramai 233 orang terdiri daripada kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas); Mara dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menerima anugerah ber­kenaan yang merupakan satu bentuk penghargaan terhadap pencapaian serta kecemerlangan warga kementerian sepanjang tahun lalu.
Semalam, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Sarawak, Datuk Amar Awang Te­ngah Ali Hasan ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan di Lawas yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu kerajaan menyegerakan pembinaan MRSM Lawas yang telah diumumkan sejak lima tahun lalu.
Ismail Sabri berkata, terbaharu, syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) tampil menaja pembinaan MRSM Bintulu, Sarawak dan MRSM Ranau di sini.
“Ini model baharu yang kita mahu perluaskan iaitu penajaan pembinaan oleh GLC atau kerajaan negeri. Kalau dulu, Felda bagi sepenuhnya (taja) untuk MRSM Trolak, Perak selain penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Tidak lama lagi, kita akan lancarkan pembukaan sebuah MRSM di Terengganu dengan premisnya disediakan oleh kerajaan negeri. Kita mahu Mara berjumpa GLC seperti Tenaga Nasional Bhd. (TNB), Tabung Haji atau Sime Darby, berbincang jika mereka berminat,” tambahnya.
Ketika berucap beliau mengingatkan kakitangan kementerian dan agensi supaya memantau perkembangan projek kementerian khususnya Projek Perumahan Rakyat (PPR) daripada berdepan sebarang isu serta masalah.
“Sebanyak RM5.4 bilion diperuntukkan kepada kementerian bagi aspek pembangunan. Namun, bajet yang begitu besar, kalau dari segi pelaksanaan tidak dilakukan dengan sempurna, tidak membawa apa-apa makna,” tegasnya.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/glc-kerajaan-negeri-digalak-taja-pembinaan-mrsm-1.195827#sthash.uns3CRQt.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.