Rayu bantuan baik pulih kedai

sinar1

SEBERANG TEMERLOH – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) merayu bantuan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan agensi berkaitan untuk mendapatkan peruntukan membaik pulih kedai kopi miliknya yang musnah teruk akibat banjir pada 2014.

Khairuddin Ishak, 45, dari Kampung Tebal di sini berkata, dia pernah memohon bantuan untuk membaiki kedai kopi peninggalan arwah bapanya, Ishak Mohd Jaafar tahun lalu daripada Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

“Alhamdulillah saya terima surat dari pejabat Datuk Seri Mohd Sharkar yang maklumkan permohonan saya dipanjangkan kepada Mara untuk baik pulih kedai.

“Sokongan dan bantuan daripada Datuk Seri memang sangat dihargai tetapi sehingga hari ini langsung tidak ada wakil dari Mara untuk melihat sendiri keadaan kedai kopi saya yang rosak teruk akibat banjir 2014,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Khairuddin berkata, akibat banjir pada 2014, kedai kopi yang dibina pada 1971 oleh arwah bapanya itu rosak teruk dan semua peralatan di dalam kedai itu musnah.

Menurutnya, walaupun disahkan OKU mental beberapa tahun lalu tetapi dia masih mampu hidup seperti orang lain dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah.

Katanya, sekiranya diberi bantuan untuk baik pulih kedai kopi itu nanti akan membolehkannya menyara ibunya, Siti Juhar Umar, 68, yang tinggal bersamanya di kampung itu.

“Memang niat saya untuk berniaga dan menyara diri dan ibu yang masih tinggal bersama saya,” katanya.

Khairuddin berkata, banjir besar pada 2014 menenggelamkan kedai kopi peninggalan arwah bapanya itu.

Katanya, dia sangat berharap supaya ada wakil dari Mara atau jabatan dan agensi lain yang berkaitan untuk membantunya membina semula kedai kopi yang dibina di atas tanah pusaka itu.

“Saya memang tidak ada modal langsung untuk bina semula kedai kopi ini, sebab itu saya jumpa dan minta tolong dengan sesiapa sahaja asalkan berjaya,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/rayu-bantuan-baik-pulih-kedai-1.481940

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.