Bumiputera perlu faham fungsi, bantuan MARA – Raja Muda Perlis

CSR

PADANG BESAR 4 Feb. – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihati kaum bumiputera agar memahami fungsi dan bantuan pinjaman pendidikan diberikan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Baginda bertitah, mereka perlu memahami bahawa tujuan pemberian bantuan pinjaman pendidikan itu bagi memastikan golongan kurang kemampuan mendapat pendidikan sempurna.
“Yang penting pelajar bumiputera perlulah berusaha mendapatkan keputusan cemerlang),” titah baginda ketika merasmikan Sambutan Jubli Emas MARA Ke-50 (1966-2016) peringkat negeri bertemakan Memacu Amanah Rakyat di Dewan Tuanku Syed Putra, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri, di sini semalam.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, agensi seperti MAIPs, MARA dan lain-lain berusaha keras membantu mengubah nasib masyarakat.
Pelbagai aktiviti diadakan bersempena sambutan itu antaranya Kayuhan Berbasikal MARA dan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf disertai 175 peserta termasuk baginda bagi menyerahkan zakat MAIPs dan MARA kepada tiga keluarga asnaf di sini termasuk membaik pulih pendawaian elektrik dan membaiki bumbung rumah mereka.
Anak syarikat Mara antaranya PMB TIJARI, Rural Capital Sdn Bhd, GiatMara Malaysia, Institut Kemahiran MARA dan MARA Cycling Club turut menyumbang tenaga pada program itu.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan sumbangan Mara kepada 20 pelajar MRSM Beseri dan 20 pelajar IKM Beseri. – BERNAMA

Sumber

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , . Bookmark the permalink.