Warga emas syukur dapat duduki rumah baharu

AHMAD SHUKRI ISMAIL (depan, tiga dari kiri) bersama penerima selepas majlis penyerahan replika kunci rumah di Kampung Bukit Rang, Jerantut, Pahang, semalam. Utusan/HARIS FADILAH AHMAD

AHMAD SHUKRI ISMAIL (depan, tiga dari kiri) bersama penerima selepas majlis penyerahan replika kunci rumah di Kampung Bukit Rang, Jerantut, Pahang, semalam. Utusan/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 21 Jan. – Penantian lebih setahun dua warga emas untuk menduduki rumah baharu berakhir apabila mereka menerima replika kunci rumah berkenaan di Kampung Bukit Rang di sini hari ini.
Kedua-dua ibu tunggal tersebut yang merupakan antara mangsa banjir 2014 menerima bantuan itu menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) di bawah projek rumah kekal mangsa banjir yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan GiatMara.
Siti Aishah Sani, 80, dari Kampung Perian berkata, selepas rumahnya musnah akibat dilanda banjir pada hujung 2014, dia dimaklumkan bahawa kerajaan akan memberi bantuan rumah baharu dan perkara itu akhirnya menjadi kenyataan.
Ibu kepada empat anak itu bersyukur dengan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa banjir khususnya kebajikan mereka yang tidak berkemampuan.
“Setelah rumah asal dihanyutkan arus deras banjir, saya tenggelam punca dan trauma mengenang nasib pada masa akan datang. Pelbagai persoalan bermain di fikiran seperti di mana hendak tinggal kerana saya tidak berkemampuan membina rumah baharu.
“Syukurlah ada kerajaan yang prihatin dengan nasib mangsa banjir seperti saya,” katanya selepas majlis penyerahan replika kunci rumah berkenaan yang disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail.
Yang hadir sama Ketua Penolong Pegawai Daerah, Nohisham Karno dan Penghulu Mukim Pulau Tawar, Amir Hamzah Othman.
Seorang lagi penerima bantuan, Siti Lijah Bidin, 79, berkata, sebelum ini dia terpaksa menumpang di rumah saudaranya setelah rumahnya dihanyutkan air banjir.
“Rumah baharu ini membolehkan saya meneruskan kehidupan dengan lebih selesa. Bantuan rumah kekal mangsa banjir ini dapat membela kebajikan mangsa banjir sekali gus menyusun semula kehidupan keluarga miskin dalam persekitaran lebih selamat,” kata ibu tunggal yang mempunyai dua anak itu.
Sementara itu, Ahmad Shukri berkata, walaupun lebih setahun musibah banjir besar yang melanda daerah ini berlalu, kerajaan negeri tetap mengotakan janji untuk memberi bantuan rumah kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal.
Katanya, JKR dan GiatMara membina lima rumah di Bukit Rang iaitu di kawasan tinggi dan selamat di tanah kerajaan manakala sebuah lagi didirikan di atas tapak milik seorang mangsa banjir.
“Projek rumah kekal mangsa banjir berjaya menyelesaikan masalah penempatan mangsa banjir di kawasan Pulau Tawar seperti yang dijanjikan oleh MKN dan kerajaan negeri untuk keselesaan penduduk yang kurang berkemampuan,” katanya.

– Sumber:http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/warga-emas-syukur-dapat-duduki-rumah-baharu-1.181979

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.