Manfaatkan peluang belajar di MRSM

mrsm mukah

MUKAH: Pelajar yang diterima belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Mukah dinasihat supaya memanfaatkan peluang yang diberi dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Yussibnosh Balo berkata MRSM dianggap sebagai sebuah institusi pendidikan berprestasi tinggi kerana pelajar yang diterima adalah dari golongan yang mendapat keputusan UPSR dan PT3 yang cemerlang.

Berikutan itu, MRSM mempunyai tanggungjawab bukan sahaja untuk mengekalkan prestasi cemerlang pelajar, malah meningkatkan pencapaian akademik mereka dan kualiti pendidikan di institusi itu amnya.

Katanya, MRSM Mukah mempunyai visi dan misi tersendiri dan ke arah itu mahu melihat pelajar mencapai kecemerlangan dalam akademik. Beliau menambah, diharap pelajar akan memanfaatkan peluang yang diberi dan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. “Apabila berada di MRSM Mukah, pelajar perlu menumpukan perhatian untuk belajar kerana itu tanggungjawab mereka sebagai pelajar, dan ini boleh dikaitkan dengan pribahasa Melayu, ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program akademik gemilang STAR dan BEST pelajar Tingkatan 3 dan 5 MRSM Mukah di dewan serbaguna maktab itu di sini Isnin (18 Januari) lalu. Yussibnosh juga menasihatkan pelajar untuk terus menghormati guru dan memilihara hubungan baik dengan mereka serta sesama pelajar.

Pada majlis itu, beliau juga mengumumkan bantuan sebanyak RM10,000 untuk Badan Muafakat MRSM Mukah bagi membantu membiayai aktiviti, dan cek untuk bantuan itu sudah diserahkan di Pejabat PBB di sini sebelum ini.

Turut hadir pengetua MRSM Mukah Maznan Maamor, pegawai MARA Daerah Mukah Awang Mohamad Hijan Awang Kadir, Yang Dipertua Badan Muafakat MRSM Mukah Haji Ja’afar Haji Zaini, timbalan pengetua (Akademik) Haji Mohd. Nor C. Lah, timbalan pengetua (Hal Ehwal Pelajar) Alias Ramli dan timbalan pengetua (Kokurikulum) Affandi anak Rumpa.

Sumber : http://www.utusansarawakonline.com/news/31598/Manfaatkan-peluang-belajar-di-MRSM/

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.