WGN Scan sahkan ketulenan produk 
di Mara Digital

PENGUNJUNG memenuhi ruang gerai di Mara Digital, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Pelantikan WGN Scan Sdn. Bhd. (WGN Scan) sebagai pembekal utama dan ejen yang mengesahkan ketulenan barangan di Mara Digital adalah untuk memastikan semua produk dan gajet di situ sentiasa berkualiti.

Pengarah Eksekutifnya, Wan Mohd. Zaffuan Wan Mohd. Zin berkata, ini untuk memastikan kesemua produk teknologi maklumat (IT) termasuklah komputer dan telefon pintar yang dijual tidak mempunyai unsur penipuan.

“Kami juga telah menubuhkan sebuah organisasi yang beroperasi di Mara Digital untuk meninjau produk di setiap kedai dari semasa ke semasa bagi memastikan kesemua produk mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Ini kerana, ramai peniaga di sini mendapatkan gajet daripada pembekal luar dan pengesahan ketulenannya perlu dilakukan sebelum sampai kepada pembeli,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Ketika ditanya tentang usaha meningkatkan jumlah pengunjung, Wan Mohd. Zaffuan berkata, pihaknya sedang me­rancang gerak kerja pemasaran untuk menarik minat lebih ramai pengunjung datang ke pusat sehenti penjualan gajet dan alat telekomunikasi tersebut.

“Kami akan membuat program seperti acara larian, memasarkan iklan di panggung wayang terpilih dan hebahan di universiti-universiti di bawah kelolaan Mara seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM),” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung, Nor Muhammad Ihsan Nor Mohd. Idrus, 24, berkata, promosi yang lebih hebat perlu dilakukan bagi menarik lebih ramai pengunjung pelbagai peringkat usia.

“Pihak media tempatan perlu memainkan peranan untuk menyebarluaskan peranan Mara Digital yang menjual pelbagai gajet telekomunikasi selain menempatkan ramai peniaga Melayu.

“Selain itu, pihak pengurusannya juga perlu menambah lebih ramai peniaga dan menggunakan semua ruang yang ada untuk memperbanyakkan lagi produk berjenama di sini,” katanya.

Menurut seorang penjawat awam, Dzikrullah Junos, 33, dan isterinya, Nor Fazilah Abd. Razak, 30, promosi secara rasmi perlu diperbanyakkan badan-badan bertanggungjawab menerusi media sosial supaya lebih ramai yang menge­tahui kewujudan Mara Digital.

Tambah mereka, urusan jual beli yang selesa dan sangat mudah adalah antara faktor tarikan yang boleh dimaklumkan kepada orang ramai.

“Namun, kemudahan asas seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) juga perlu ditambah baik bagi memastikan kelancaran urus niaga,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wgn-scan-sahkan-ketulenan-produk-8232-di-mara-digital-1.178759#sthash.Gq4mZMq2.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged , . Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: