Kerajaan bantu pelajar Orang Asli lanjut pelajaran

KUALA LUMPUR 28 April – Kerajaan akan berusaha meningkatkan tahap pendidikan masyarakat Orang Asli termasuk membantu mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi di luar Negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah , Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sejak program penghantaran pelajar Orang Asli ke luar Negara bermula pada 2010, seramai 23 pelajar masyarakat itu berjaya mendapat peluang berkenaan.

Malah katanya, pada 2013 , kementerian telah memilih seramai 11 pelajar Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam pelbagai bidang.

“ Kita dapati pencapaian anak Orang Asli dalam bidang akademik meningkat hampir setiap tahun dan ini merupakan petanda baik kepada mereka.

“ Oleh itu kita akan berusahamemberi bantuan dan bimbingan bukan sahaja di peringkat pendidikan rendah dan menengah tetapi juga ke peringkat universiti. Jika berkemahuan mereka boleh sambung sehingga ke peringkat doctor falsafah(PhD),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Anugerah Pelajar Cemerlang  Orang Ali 2013 di Institusi Kemajuan Desa (INFRA) di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 215 pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) , Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia  (STPM) 2013 menerima anugerah masing-masing.

Mohd. Shafie berkata ,kerajaan melalui jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memperuntukan sebanyak rm38 juta bagi memberi kemudahan pendidikan kepada masyarakat orang asli pada tahun ini.

“Peruntukan itu bukan sahaja kepada pelajar yang berjaya tetapi juga untuk mereka yang kurang cemerlang dalam akademik untuk melanjutkan pelajar dalam bidang kemahiran.

“Antara bantuan yang diberikan meliputi bantuan tambang pengangkutan , yuran persekolahan , wang saku, biasiswa serta program latihan dan kemahiran,”jelasnya.

Menurut Mohd Shafie, beliau dimaklumkan sehingga kini terdapat seramai 47,656 pelajar Orang Asli daripada peringkat tadika sehingga ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh Negara.

Daripada jumlah itu, kata beliau , seramai 546 pelajar Orang Asli sedang menuntut di peringkat IPTA dalam pelbagai jurusan.

“Impak daripada jumlah itu, kita dapati bahawa masyarakat Orang Asli kini telah mempunyai kesedaran  mengenai kepentingan terhadap pendidikan . Pada masa sama juga, bagi meningkatkan kemahiran vokasional dalam kalangan belia dan beliawanis Orang Asli ,sehingga kini kita telah melatih seramai 1,797 belia Orang Asli dalam Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK).

“Daripada jumlah tersebut ,seramai 984 belia telah berjaya mendapat pekerjaan dan memperoleh pendapatan bermula dari rm900 hingga rm2,800,”  kata beliau.

Dalam pada itu, mengulas mengenai lawatan Presiden Amerika Syarikat , Barack Obama ke Malaysia , Mohd Shafie berkata ,lawatan Obama ke Malaysia dapat meningkatkan kerjasama bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kepada Negara lain di rantau Asia.

“Saya berharap lawatan tersebut dapat memberi manfaat bukan sahaja kepada Amerika Syarikat tetapi juga kepada Malaysia,” jelasnya

Sumber artikel Utusan Malaysia

29/4/2014

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.