Majlis Perasmian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sandakan, Sabah

Gambar - Mingguan Malaysia

Gambar – Mingguan Malaysia

Majlis Perasmian Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sandakan, Sabah telah diadakan pada 5 April 2014 (Sabtu), jam 10.30 pagi, bertempat di Dewan Utama, Maktab Rendah Sains MARA, Sandakan, Sabah. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Bin Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan dihadiri oleh 1000 orang jemputan di antaranya Yang Berbahagia Datuk Seri Ibrahim Bin Muhamad, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Yang Berhormat Datuk Haji Zakaria Haji Mohd Edris, Pembantu Menteri Kerajaan Perumahan dan Tempatan Negeri Sabah mewakili Yang Berhormat Ketua Menteri Sabah, Yang Berhormat Datuk Bung Mokhtar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi FELCRA, Yang Berbahagia Dato’ Ahmad Zubir Bin Abd Ghani, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Yang Berbahagia Datuk Ibrahim Bin Ahmad, Ketua Pengarah MARA.

MRSM Sandakan merupakan MRSM ketiga dibina di Negeri Sabah dan mula beroperasi pada Januari 2013 dengan kemasukan pelajar sulungnya sekitar 140 orang pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat. Setelah setahun beroperasi, kini seramai 499 Tingkatan 1 hingga tingkatan 5 orang pelajar sedang menuntut di MRSM ini meliputi 132 pelajar lelaki dan 367 pelajar perempuan. Mereka dibimbing serta dididik oleh seramai 57 orang guru dengan dibantu oleh 18 orang kakitangan pentadbiran.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Bin Haji Apdal menyatakan bahawa MRSM kini telah menjadi pilihan utama para ibu bapa untuk menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah. Faktor itu didorong prestasi keputusan cemerlang yang dicapai pelajar MRSM setiap tahun, yang disokong oleh suasana pembelajaran yang kondusif dengan prasarana yang lengkap serta kemudahan pembelajaran yang terkini. Kesungguhan kerajaan menubuhkan pusat MRSM di kawasan luar bandar adalah bagi membebaskan golongan bumiputera daripada belenggu kemiskinan menerusi pendidikan. Setelah lebih 3 dekad, MRSM terbukti berjaya melahirkan generasi baharu berpelajaran, berpendidikan dan membuka peluang kepada pelajar luar bandar untuk didedahkan dengan kerjaya berimpak tinggi.

Bersempena majlis ini, Yang Berhormat Menteri turut mengumumkan suntikan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menaiktaraf kawasan perhimpunan pelajar MRSM Sandakan, pembinaan kemudahan futsal, gim dan pusat aktiviti pelajar.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , , . Bookmark the permalink.