MARA PENERAJU TRANSFORMASI BUMIPUTERA

Oleh Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

SEBAHAGIAN yang hadir pada majlis sambutan ke-48 tahun penubuhan MARA mengaminkan doa di hadapan Menara MARA di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

SEBAHAGIAN yang hadir pada majlis sambutan ke-48 tahun penubuhan MARA mengaminkan doa di hadapan Menara MARA di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Gambar – Utusan Malaysia

“Jika dihitung mungkin lebih empat juta orang telah mendapat faedah daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) sejak ia ditubuhkan pada 1966. Mereka terdiri daripada golongan pelajar, usahawan, ahli perniagaan, petani, pekerja sektor awam atau swasta, pesara dan sebagainya. Ramai daripadanya telah Berjaya dan mengecapi nikmat dalam bidang yang diterokai atau dalam kerjaya masing-masing.”

            Demikian sedutan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Menara Mara di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

            Tambah beliau, agenda pemerkasaan bumiputera merupakan agenda nasional yang akan sentiasa dipertahan dan diperjuangkan oleh kerajaan. Sebarang bantuan kepada masyarakat bumiputera sejak dahulu, sekarang dan pada masa hadapan adalah wajar dan tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana langkah tersebut diambil demi keadilan masyarakat dan sosial.

            Apa yang menarik dalam ucapan itu, beliau mengakui bahawa api perjuangan hasil Kongres Ekonomi Bumiputera 1965 yang dicetuskan oleh Tun Abdul Razak masih terus menyala dalam dirinya. Ini terbukti baru-baru ini apabila pihak Mara memohon tambahan dana sebanyak RM400 juta tetapi beliau meluluskan RM800 juta.

            Jelasnya, beliau amat memahami dan tidak mahu program bagi membantu masyarakat bumiputera akan terjejas dan terbantut jika berlakunya kekurangan dana.

            Walau bagaimanapun beliau sentiasa mengingatkan pihak pengurusan Mara bahawa bumiputera yang dibantu itu mestilah layak secara merit. Ini bermakna mereka yang dibantu itu hendaklah memiliki keupayaan dan kebolehan untuk terus Berjaya dan berdaya saing bukan hanya sebagai pelobi atau peminta.

            Sesungguhnya perasmian bangunan baru Menara Mara setinggi 30 tingkat itu menjadi lambing kejayaan Mara dalam usaha mengangkat martabat bumiputera agar berupaya bersaing dengan kaum lain. Majlis perasmian gilang gemilang itu diadakan bersempena dengan sambutan 48 tahun penubuhan Mara. Acara bersejarah ini turut dihadiri oleh tokoh-tokoh terdahulu yang bertanggungjawab menggerakkan agensi itu.

            Sejarah awal Mara bermula sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. RIDA (Rural & Industrial Development Authority) ditubuhkan pada Julai 1950 setelah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu. Badan ini menjadi pencetus perubahan dalam pelbagai aspek pembangunan sosioekonomi masyarakat luar Bandar.

            Berteraskan prinsip ‘Mahu menolong diri sendiri’ iaitu slogan laungan Dato’ Onn Jaafar, Ketua Besar RIDA ketika itu. Matlamat penubuhan RIDA ialah untuk memberi peluang kepada masyarakat bumiputera terlibat dalam bidang keusahawanan serta memperolehi peluang pendidikan yang lebih baik.

            Namun demikian kerana peranan RIDA yang agak terhad dan keperluan mendesak untuk diwujudkan sebuah organisasi yang lebih berfokus maka pada 1966, menyaksikan penyusunan semula peranan RIDA. Agensi itu kemudiannya diberi nafas baru dan nama yang lebih mencabar iaitu Majlis Amanah Rakyat atau MARA yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966.

            Untuk memperkasakannya ia diletakkan di bawah Akta Parlimen. MARA bergerak sebagai sebuah badan berkanun yang lahir daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama pada 1965. Para peserta Kongres itu sangat menginginkan sebuah agensi khusus untuk membantu serta memperkukuhkan tahap sosioekonomi masyarakat bumiputera.

            Kini selepas 48 tahun penubuhannya, MARA boleh berbangga dengan kejayaannya menjadi peneraju transformasi bumiputera. Sektor Keusahawanan berperanan sebagai peneraju ke arah melahirkan usahawan baru, memperkasakan usahawan sedia ada dan membangunkan perusahaan melalui pendekatan bersepadu. Tumpuan yang diberikan adalah kepada pembangunan usahawan, pewujudan peluang perniagaan, penyediaan premis dan menyediakan kemudahan modal perniagaan.

            Pendekatan ini turut diperkukuhkan melalui program pemasaran, penjenamaan dan latihan industri. Matlamatnya ialah untuk melahirkan kelompok usahawan bumiputera dalam bidang korporat, teknousahawan, peruncitan, pembuatan dan kontraktor berwibawa. Kemudahan yang disediakan meliputi ruang niaga komersial dan inkubator bagi mempertingkatkan prestasi dan keupayaan perniagaan di lokasi yang strategik. Di samping itu, ia turut menyediakan kemudahan pinjaman dan suntikan modal bagi menjayakan perniagaan tersebut.

            Satu lagi bidang yang diterokai ialah sektor Pelaburan. Ia bertujuan meningkatkan taraf sosioekonomi melalui penambahbaikan pengurusan sumber kewangan dan peningkatan penguasaan ekuiti bumiputera.

            Peningkatan ekuiti ini telah bermula sejak 1967 melalui aktiviti pengurusan skim saham amanah, pakar perunding kewangan, kawalan kredit dan khidmat nasihat kewangan serta pelaburan.

            MARA turut mempunyai 13 subsidiari yang aktif dalam pelbagai sektor seperti pendidikan, peruncitan, hartanah, pengangkutan dan perkhidmatan.

            Penulis berpendapat kejayaan besar MARA amat terserlah dalam sektor pendidikan. Agensi ini telah Berjaya melahirkan ramai modal insan yang bertaraf global. Program transformasi sektor pendidikan telah dirangka bagi mencapai matlamat menghasilkan dalam jumlah yang ramai, pelajar cemerlang, professional, pemimpin perniagaan, dan tekno-usahawan.

            Bagi melahirkan modal insan yang cemerlang itu diwujudkan gugusan institusi pendidikan di seluruh negara yang meliputi dua laluan utama iaitu bidang akademik, teknikal dan vokasional atau TVET. Laluan akademik bermula dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) hinggalah ke peringkat pra-universiti di Kolej Mara, separa professional di Kolej Profesional dan Kolej Poly-Tech.

            Sementara itu, laluan kedua iaitu TVET bermula daripada peringkat sijil di GiatMara dan Institusi Kemahiran Mara (IKM). Peringkat diploma dan Higher National Diploma (HND) di Kolej Kemahiran Tinggi, German-Malaysian Institute (GMI) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

            Pada dasarnya UniKL merupakan apex pendidikan TVET yang menyediakan pengajian sehingga ke peringkat PhD. Universiti itu turut menyediakan pengajian dalam bidang kritikal seperti aeroangkasa, teknologi maritime, automotif, elektronik, perubatan serta pelbagai bidang kejuruteraan terkini.

            Justeru bagi melengkapkan generasi baharu bumiputera menghadapi cabaran akan dating maka MARA secara berterusan telah merancang hala tujunya agar sentiasa relevan dengan perubahan persekitaran sama ada dari segi sosial, ekonomi dan politik.

            Selamat menyambut ulang tahun ke 48. Semoga berjaya mencapai matlamat penubuhannya dan terus maju menjadi pencetus transformasi bumiputera!

Sumber: Utusan Malaysia (12 Mac 2014)

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged , , . Bookmark the permalink.