PEMBANTU JURUTERBANG BERJIWA BESAR

Bekas pelajar MRSM bangga berkhidmat bersama MAS.

Oleh Khairul Azran Hussin

Selepas memaparkan kisah juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, blog http://www.share-lor.net semalam, memaparkan latar belakang beberapa krew penerbangan pesawat itu.

            Paparan terbarunya, TRIBUTE: The crew behind Malaysia Airlines Flight MH370, memaparkan kisah pembantu juruterbang, Fariq Abd Hamid; ketua pramugara, Andrew Nari; ketua pramugari Goh Sock Lay dan pramugara, Junaidi Kassim serta Hazrin Mohamed Hasnan.

            Fariq yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) disifatkan sebagai berjiwa besar dan berbangga berkhidmat dengan Penerbangan Malaysia (MAS).

            Ia dibuktikan apabila gambar sayap penerbangan MAS dijadikan penghias latar belakang akaun Facebook miliknya.

            Blog itu juga memuat naik gambar Andrew bersama jaguh badminton Negara, Datuk Lee Chong Wei, yang ketika itu menjadi penumpang pesawat MAS untuk menyertai aksi Seluruh England di Birmingham.

Peramah, senang didekati. Ketua pramugara yang berasal dari Sarawak itu, adalah peminat pasukan Liverpool selain meminati lagu rock klasik kumpulan Pink Floyd dan Dire Straits.

            Selain itu, blog berkenaan menggambarkan Sock Lay, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent, Melaka sebagai seorang yang peramah serta senang didekati.

            Pengendali blog itu juga menyifatkan Junaidi yang juga bekas pelajar SMK Bukit Bintang dan Hazrin, bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang, Johor sebagai penggemar fotografi.

            Mereka sering mengabdikan pelbagai gambar membabitkan keindahan serta keajaiban alam pada setiap destinasi yang dikunjungi.

            Selain itu menerusi Instagram milik Hazrin, @rainhasnan turut menunjukkan gambarnya bersama chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Chef Wan.

            Malah, Hazrin sempat berseloroh dengan Chef Wan dalam isu nasi lemak dengan menghantar teks “@chefwan58 jom makan nasi lemak.. he.. he.. apapun sesuatu yang menggembirakan dapat melayan awak dalam penerbangan ke Dubai. Seorang yang merendah diri.”

            Kelmarin, blog yang sama menyifatkan juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah mempunyai minat mendalam dalam dunia penerbangan, selain gemar memasak sekiranya ada masa lapang.

            Zaharie dipaparkan bukan sekadar juruterbang pesawat Boeing B777-200, beliau turut mencipta simulator B777 di rumahnya, seperti mahu terus memperlengkapkan diri dengan ilmu penerbangan, biarpun sudah mempunyai pengalaman penerbangan sebanyak 18,365 jam.

Sumber : Berita Harian, 11 Mac 2014 (Selasa)

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.