KPTM hantar lebih ramai pelajar, graduan ke luar negara

konvo kptm

PUTRAJAYA 1 Dis. – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) akan menghantar lebih ramai pelajar dan graduannya yang cemerlang melanjutkan pelajaran ke luar negara bermula tahun hadapan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, usaha itu akan dilakukan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara) menerusi skim pinjaman pelajarannya.

Katanya, pihaknya bercadang menghantar sebanyak 200 pelajar dan graduan cemerlang ke universiti luar negara pada setiap tahun.

“Untuk pelajar yang mengikuti bidang teknikal mereka perlu sekurang-kurangnya memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.5 ke atas setiap semester dan mencapai purata markah International English Language Testing System (IELTS) atau Ujian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Asing (TOEFL) seperti ditetapkan universiti luar negara.

“Bagi bidang bukan teknikal pula mereka perlu memperoleh sekurang-kurangnya CGPA 3.75,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Konvokesyen KPTM Ke-30 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengerusi KPTM, Mohd. Azis Jamman.

Pada majlis itu, sebanyak 3,329 graduan KPTM menerima diploma dan ijazah masing-masing.

Menurut Mohd. Shafie, pada bulan Februari ini, seramai lapan graduan cemerlang KPTM akan dihantar melanjutkan pelajaran ke universiti di Australia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, konvokesyen kali ini turut mencatat sejarah apabila sebanyak 39 pelajar dari KPTM Semporna yang juga merupakan kampus luar bandar pertamanya dianugerahkan diploma dalam bidang perakaunan dan pengurusan perniagaan.

Dalam pada itu, mengulas tentang penarafan kolej tersebut menjadi kolej universiti, katanya, pihaknya berhasrat menjadikan keseluruhan tenaga akademiknya memiliki lulusan sekurang-kurangnya di peringkat sarjana dan 15 peratus (ijazah doktor falsafah).

Pada masa sama, katanya, pihaknya turut dalam perbincangan untuk mewujudkan sebuah kampus induk bagi menampung jumlah pelajar di kolej universiti itu.

Sementara itu Ibrahim berkata, pihaknya akan mencari tapak kekal untuk kampus KPTM Semporna yang kini menyewa bagi membolehkan pengambilan pelajar yang lebih ramai.

Langkah itu juga dapat mengurangkan penghijrahan belia ke bandar, katanya.

Mohd. Azis pula berkata, langkah menempatkan kampus KPTM di luar bandar amat tepat dan kejayaan KPTM Semporna adalah buktinya, walaupun sebelum ini ada pihak yang merasakan langkah itu berisiko.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20131202/ka_01/KPTM-hantar-lebih-ramai-pelajar-graduan-ke-luar-negara#ixzz2mHqdjiQL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan and tagged . Bookmark the permalink.