TAN SRI HAJI ANNUAR BIN HAJI MUSA PENGERUSI MARA BAHARU

Pengerusi MARA

KUALA LUMPUR,  23 Julai: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengumumkan pelantikan YB Tan Sri Haji Annuar bin Haji Musa sebagai Pengerusi MARA yang ke-30 menggantikan YB Dato’ Seri Idris bin Jusoh berkuatkuasa 19 Julai 2013.

YB Tan Sri Haji Annuar bin Haji Musa merupakan Ahli Parlimen Ketereh memiliki sarjana dalam Pengurusan Pembinaan dari University College of London, serta  Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Perancang Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Pengarah, Bahagian Perancang Korporat, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan selain pernah berkhidmat sebagai Pengerusi FAMA (1989-1990) serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi tempoh 2005 hingga Mei 2013.

Antara jawatan politik yang pernah disandang adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peringat (1986-1990), ADUN Kok Lanas (2004-2008) serta Ahli Parlimen Peringat (1995-1999) di Kelantan; Menteri Belia dan Sukan Malaysia (1990-1993); Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia (1993-1999); Majlis Tertinggi UMNO (1991-2009) serta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan (2004-2009).

YB Tan Sri Haji Annuar bin Haji Musa turut aktif dalam badan sukarela antaranya Ahli Korporat Pertubuhan Perancang Malaysia; Pengasas Yayasan Kemiskinan Kelantan (1991-kini); Setiausaha Agung Persatuan Persahabatan Malaysia-Indonesia (2002-kini); Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (2007-kini) serta Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia bagi tahun 2010 hingga kini.

 Ahli Pengurusan serta warga MARA mengalu-alu serta mengucapkan tahniah kepada YB Tan Sri Haji Annuar bin Haji Musa atas pelantikan sebagai Pengerusi MARA yang baharu.

Dengan latar belakang akademik cemerlang serta pengalaman politik yang luas sudah pasti YB Tan Sri Haji Annuar bin Haji Musa akan memantapkan lagi usaha serta peranan MARA selaku organisasi yang unggul dan diberkati dalam usaha mengangkat martabat bangsa.

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.