Raja Nazrin rasmi MRSM Parit

942318_619033268107539_2144190342_n

PARIT 29 Jun – Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini berkenan merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-85 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Berangkat sama dalam majlis perasmian MRSM bernilai RM80 juta itu ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mohd Amin Zakaria.

Dalam ucapannya ketika majlis perasmian itu, Zambry mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Mara kerana merealisasikan penubuhan MRSM Parit yang dimohon pada 2007.

“Diharap dengan bertambahnya bilangan MRSM di negeri ini, dapat merancakkan sistem pembangunan pendidikan yang sedia ada khususnya dari segi peningkatan pencapaian akademik para pelajar di Perak,” katanya.

Zambry juga percaya, kewujudan MRSM Parit akan memberikan limpahan ekonomi dan sosial kepada penduduk di kawasan tersebut terutama golongan peniaga.

“MRSM memang sengaja diletakkan di bawah Mara kerana MRSM akan memfokuskan kepada pengambilan pelajar yang majoritinya dalam kalangan bumiputera dan pengkhususan pada pelajar luar bandar.

“Maka, tidak hairanlah kebanyakan MRSM yang dibina terletak di tempat strategik dan di pinggir bandar, khususnya untuk membangunkan masyarakat setempat dari segi ekonomi dan sosial yang terbaik,” ujarnya.

MRSM Parit merupakan MRSM ke-51 di negara ini, dibina di atas ladang getah seluas 22 hektar yang terletak kira-kira dua kilometer dari pekan Parit dan 30 kilometer dari Ipoh.

Sekolah untuk pelajar terpilih itu mula beroperasi pada 21 Mei 2012 dan setelah setahun beroperasi, bilangan pelajar kini sebanyak 796 orang dengan 59 guru dan 22 kakitangan.

MRSM Parit adalah yang ketujuh dibina di negeri ini selepas MRSM Pengkalan Hulu, MRSM Gerik, MRSM Lenggong, MRSM Taiping, MRSM Pasir Salak dan MRSM Felda Trolak.

MRSM itu merupakan yang pertama di negeri ini melaksanakan program dwisijil iaitu gabungan kokurikulum kebangsaan dan Program Sijil Antarabangsa Pendidikan Menengah (IGCSE).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/test/Utara/20130630/wu_02/Raja-Nazrin-rasmi-MRSM-Parit#ixzz2XlPj1I4v
© Utusan Melayu (M) Bhd

Galeri Foto : http://www3.mara.gov.my/bps/galeri/2013/06%20Jun/007/index_3.html

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.