PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT UNIKL RCMP – HULU TEMBELING, PAHANG

447_10201330134999234_76212862_n

Menyedari hakikat masih banyak penempatan penduduk pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan serta tahap kesihatan yang memuaskan, Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak (UniKL RCMP) di bawah Rural Medical Mobile Mission (RM3) telah mengadakan satu program khidmat masyarakat bertempat di Kampung Bantal, Hulu Tembeling, Pahang pada 23 hingga 26 Mei yang lalu. 

Seramai 29 pelajar dari Fakulti Perubatan, Farmasi, Fisioterapi UniKL RCMP serta Sembilan (9) pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghazali Shafie, Kuala Lipis, Pahang telah mengikuti program ini diiringi oleh 12 orang terdiri daripada pegawai MARA, pensyarah serta pegawai UniKL RCMP diketuai oleh Profesor Madya Dr. Abdul Karim Russ Hassan.

Menurut Pengerusi UniKL RCMP, Datuk Dr. Zamani Md Noor, Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui sektor pendidikannya berperanan membentuk modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik malahmempunyai karakter, integriti serta sahsiah peribadi yang tinggi.

“Justeru, selaku subsidiari MARA, program yang dijalankan oleh UniKL RCMP ini sudah pasti mampu membentuk semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar tehadap tanggungjawab kepada penduduk pedalaman sekali gus memantapkan lagi tahap pembelajaran mereka melalui pendedahan perkhidmatan rawatan promosi kesihatan secara langsung yang dilaksanakan” katanya.

Program yang turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Yayasan Khalifah ini bermatlamat memberi perkhidmatan rawatan dan promosi kesihatan kepada penduduk luar bandar melalui gabungan pelajar perubatan dan sains kesihatan UniKL RCMP dengan mendedahkan mereka berkenaan pembelajaran melalui orientasi berasaskan keperluan komuniti.

Selain daripada Kampung Bantal yang memakan masa tiga (3) jam perjalanan daripada jeti Kuala Tahan, Jerantut, Pahang, program ini turut memberi khidmat kesihatan kepada para penduduk Orang Asli Kampung Dedari dan Kampung Sungai Kucing di pesisir Sungai Tembeling merangkumi aktiviti pemeriksaan kesihatan, bekalan ubat-ubatan serta pemberian sumbangan.

Menyentuh kepada khidmat yang diberi, Zamani berkata, program ini merangkumi bidang perkhidmatan, penyelidikan dan pengajaran seperti penyelidikan penyakit tropika di perkampungan Orang Asli, lawatan ke rumah penduduk kampung bagi mendapatkan demografi, tahap kesihatan serta latar belakang sosio-ekonomi penduduk luar bandar.

“Para pelajar turut mengendalikan pemeriksaan kesihatan secara percuma serta mengendalikan klinik bergerak untuk memberikan rawatan penyakit ringan di samping mengadakan aktiviti pengisian lain seperti sukan persahabatan, pameran pendidikan dan kerjaya serta pemberian sumbangan kepada penduduk setempat,”

“Kami turut berterima kasih atas sokongan yang diberikan oleh Tok Empat serta Belia 4B Kampung Bantal serta sambutan menggalakkan penduduk sekitar yang turut berkumpul di situ sempena Pesta Kampung Bantal dan berharap kerjasama ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, RM3 turut melaksanakan misi seumpama ini di beberapa kawasan pedalaman yang hanya boleh dikunjugi melalui kenderaan pacuan empat (4) roda atau laluan sungai seperti Program Khidmat Masyarakat di Royal Belum, Perak serta menganjurkan majlis berbuka puasa bersama masyarakat Orang Asli Gua Musang, Kelantan.

Mengulas mengenai aktiviti pada masa akan datang, Zamani mengulas, RM3 akan meneruskan usaha murni ini bagi memastikan penduduk pedalaman mengecap nikmat kehidupan yang lebih baik melalui peningkatan taraf kesihatan.

“Kita juga akan terus memastikan para pelajar senantiasa digalak menganjurkan program kemasyarakatan seumpama ini sebagai persediaan untuk mereka menempuh alam pekerjaan sebenar kelak malah mengalu-alukan sebarang kerjasama daripada pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan untuk turut serta bersama kami di program kemasyarakatan ini.

Gambar aktiviti >> http://4view.me/5r

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.