MAJLIS PERASMIAN PENUBUHAN SEKRETARIAT PENCEGAHAN RASUAH SPR IPMA

1

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal telah  menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Sekretariat Pencegahan Rasuah Institusi Pendidikan MARA (IPMa) jam 10.00 pagi bertempat di Auditorium Institut Integriti Malaysia (IIM), Persiaran Duta off Jalan Duta, Kuala Lumpur, pada 31 Mei 2013.

Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Ibrahim Bin Muhamad, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Ybhg Datuk Ibrahim Bin Ahmad, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Ybhg Dato’ Sri Abu Kassim Bin Mohammed, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Selari dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan generasi berintegriti, bermoral dan melahirkan masyarakat yang bebas rasuah pada masa hadapan, MARA mengambil inisiatif dengan mewujudkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di institusi pendidikannya dengan memberi kefahaman dan penekanan kepada tenaga pengajar dan pelajar IPMa berkenaan gejala rasuah dan seterusnya memberi pendedahan dan pengetahuan yang luas kepada mereka kepentingan integriti dan anti rasuah.

Menurut Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Apdal, inisiatif MARA bersama-sama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku penasihat merupakan usaha yang sangat murni dan perlu diperluaskan dalam menyumbang kepada peningkatan profesionalisme dan tahap kecekapan Institusi Pendidikan MARA.

Dalam usaha mewujudkan sekretariat ini, satu kursus Training of Trainer (TOT) telah diadakan pada 28 hingga 31 Mei 2013 yang lalu bertempat di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) yang melibatkan seramai 112 orang Kaunselor dan Tenaga Pengajar IPMa.

Kursus yang diadakan dengan kerjasama antara MARA dan SPRM ini bertujuan mewujudkan platform yang lebih kukuh dalam usaha melaksanakan kempen pencegahan rasuah secara lebih bersistematik, bersepadu dan berterusan seterusnya mewujudkan sekretariat di setiap IPMa.

Menurut Ketua Pengarah SPRM, Dato’ Seri Abu Kassim bin Mohammed,  melalui program ini, ia dapat mendedahkan pelajar-pelajar IPT kepada program-program pencegahan rasuah dan berharap dengan penyertaan mahasiswa dalam sekretariat ini menjadikan pelajar-pelajar IPT sebagai penyampai mesej anti rasuah kepada masyarakat kampus dan luar kampus.

Selain itu, antara objektif lain penubuhan sekretariat ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap nilai-nilai integriti semasa menjalankan tugas dalam kalangan tenaga pengajar IPMa.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim bin Ahmad, kewujudan sekretariat ini sudah pasti akan merealisasikan hasrat MARA untuk melahirkan modal insan global yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malah berintegriti serta mempunyai sahsiah peribadi yang tinggi.

Galeri Foto >> http://4view.me/5u

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.