MAJLIS PECAH TANAH MAKTAB RENDAH SAINS MARA (MRSM) SEMPORNA, SABAH

mrsm3SEMPORNA, 2 Mei – Projek pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Semporna bernilai sekitar RM45 juta mampu menampung seramai 450 pelajar meliputi 225 pelajar lelaki dan 225 pelajar apabila siap dibina menjelang Ogos 2014.

mrsm8

Apabila siap kelak, MRSM Semporna merupakan MRSM keempat di Sabah itu selepas MRSM Kota Kinabalu (2002), MRSM Tawau (2008) dan MRSM Sandakan (2012)

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Dato’Seri Haji Mohd. Shafie bin Haji Apdal, dengan terbinanya MRSM ini bermakna terdapat 49 MRSM di seluruh negara dan sekaligus membuktikan keprihatinan kerajaan menyediakan prasarana-prasarana dan sistem pendidikan yang terunggul untuk anak-anak Bumiputera.

“Pembukaan MRSM ini bukan sahaja menguntungkan kita dari segi penawaran peluang penerokaan ilmu dan pembinaan sahsiah serta tamadun masyarakat, tetapi meningkatkan lagi peluang peningkatan taraf ekonomi kepada penduduk Semporna sendiri,” katanya pada Majlis Pecah Tanah MRSM Semporna di tapak pembinaan MRSM Semporna di Kg Bantayan, Semporna, Sabah.

mrsm4

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha mewujudkan MRSM baru seperti MRSM Semporna dilakukan pihak kerajaan sebagai memenuhi permintaan rakyat yang meninginginkan anak-anak mereka dididik dengan sistem pendidikan menengah terbaik di negara ini.

“Pada tahun ini sahaja, tempat yang disediakan di MRSM seluruh negara adalah 9,748 sahaja tetapi permohonan yang diterima pula menjangkau sehingga 43,787 iaitu lebih dari empat kali ganda berbanding kekosongan yang ada,” katanya.

Shafie berkata, menjadi harapan pihaknya supaya pembukaan MRSM di daerah ini kelak mampu berperanan di dalam usaha membasmi kemiskinan, memupuk budaya keusahawanan, melahirkan cerdik pandai dan menjadi peneraju budaya Bumiputera baru.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.