Produk halal berpotensi besar

8503

RASMI: Entulu (tiga kanan) bersama tetamu jemputan yang lain melakukan upacara simbolik perasmian Halal Park MARA dan KIMFEST Demak Laut di Kawasan Perindustrian MARA Demak Laut di Kuching semalam.

Disasar meningkat pada kadar 6 peratus pada 2013 daripada RM38 bilion  pada 2012

KUCHING: Jumlah eksport produk halal negara disas­arkan meningkat  pada kadar 6 peratus tahun ini daripada RM38 bilion tahun lepas susulan  permintaan tinggi terhadap produk ini dalam pasaran global.

Timbalan Menteri Ke­majuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Joseph  En­tulu Belaun berkata Malaysia muncul pengeksport terbesar produk-produk  halal di mana jumlah eksport negara men­ingkat daripada RM35.4 bil­ion  pada 2011 kepada RM38 billion pada 2012.

Antara barangan utama eksport negara ialah ramuan halal diikuti dengan  industri makanan dan minuman serta bahan daripada kelapa sawit ke tiga destinasi  eksport utama negara iaitu China, Amerika Syarikat dan Singapura.

“Pasaran global yang di­anggarkan bernilai RM6.9 trilion setahun amat  luas dan berpotensi besar menyedi­akan pelbagai peluang kepada para usahawan  dan rakyat amnya.

“Ditambah dengan pen­ingkatan bilangan penduduk beragama Islam yang kini  melebihi 1.8 bilion, jumlah permintaan bagi produk-produk halal turut meningkat  di samping kesedaran men­genai halal di kalangan bukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Halal Park MARA  dan KIMFEST Demak Laut di Kawasan Perindustrian MARA (KIM) Demak Laut di sini  semalam.

Tambah Entulu, Malaysia telah berjaya menerajui sek­tor perbankan dan  kewangan Islam yang juga merupakan salah satu komponen industri halal.

Kini katanya, Malaysia per­lu memberi tumpuan kepada sektor-sektor lain  di sepanjang rantaian bekalan halal yang berpotensi tinggi.

Sehubungan itu, kerajaan katanya telah mengambil pen­dekatan yang  holistik dalam pembangunan industri halal ke arah mewujudkan ekosis­tem  halal yang menyeluruh.

“Kita perlu melipatgan­dakan usaha ke arah mem­bangunkan kekuatan  kita dalam aktiviti-aktiviti seperti pengeluaran, perdagangan dan penggalakan  pelaburan yang dapat menjana pulangan yang tinggi kepada ekonomi negara.

“Pensijilan dan pembangu­nan standard halal sahaja tidak mencukupi untuk  menjana ekonomi.

“Justeru, kerajaan telah menubuhkan Halal Indus­try Development  Corpora­tion (HDC) yang bertang­gungjawab menyelaraskan pembangunan  industri halal secara teratur dan bersepadu,” ujarnya.

Mengulas mengenai pro­gram itu, Entulu yang juga Ahli Parlimen Selangau  berkata ia merupakan usaha berterusan kepimpinan negara untuk membantu dan  membimbing usahawan-usahawan Bumi­putera meningkatkan daya saing dan daya  maju melalui aktiviti di KIM Demak Laut yang telah digazetkan sebagai Pusat  Halal MARA.

Sementara itu, penganjuran KIMFEST di sini semalam merupakan yang keempat  diadakan selepas KIM Tam­bun, Perak, KIM Pengkalan Chepa, Kelantan dan KIM  Arau, Perlis sebagai platform bagi usahawan Bumiputera mempromosikan dan  melu­askan pasaran masing-mas­ing.

Dalam pada itu pelancaran KIM Demak Laut sebagai Pu­sat Halal MARA  merupakan sebahagian daripada peran­cangan mentransformasikan KIM sebagai  Taman Halal.

Usaha sama MARA dan HDC untuk menjadikan KIM Demak Laut kepada Taman Halal  turut dijangka mampu melonjakkan jumlah jualan tahunan usahawan ke paras 25  hingga 30 peratus berbanding jumlah purata tahunan sekitar RM5 juta ketika  ini.

Read more: http://www.theborneopost.com/2013/03/11/produk-halal-berpotensi-besar/#ixzz2NajoiiVb

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.