MARA Tidak Pernah Lantik Agen Projek Pembangunan

Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Amanah Rakyat (MARA), Hasni binti Suleiman membuat kenyataan rasmi berikut :

MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) menafikan penglibatan agensi ini dengan mana-mana pihak yang mendakwa dilantik oleh MARA sebagai agen bagi melaksanakan projek pembangunan MARA terutamanya melibatkan pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atau institusi lain di bawah kendalian MARA. Ini kerana wujud cubaan untuk memperdaya orang ramai dengan mendakwa mereka terlibat dalam pembinaan beberapa buah MRSM seperti MRSM Ulu Yam, Selangor, MRSM Dungun, Terengganu, MRSM Segamat, Johor, MRSM Ampangan, Seremban dan MRSM Tanah Merah, Kelantan.

Oleh itu, pihak kami menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terpedaya dengan cubaan tersebut serta merujuk kepada MARA sekiranya didatangi oleh mereka yang mendakwa sebagai agen projek sebegini.

MARA tidak pernah menggunakan kaedah pelantikan agen dalam pelaksanaan mana-mana projek pembangunan MARA. Kesemua projek pembangunan atau sebarang perolehan MARA dilaksanakan secara telus melalui prosedur, syarat dan tata cara yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Orang ramai diminta untuk menghubungi mana-mana Pejabat MARA Negeri atau Pejabat MARA Daerah atau terus ke Ibu Pejabat MARA sekiranya wujud kesangsian atau terdapat pihak yang menggunakan nama MARA dalam menawarkan sebarang bentuk pelaburan, perkongsian perniagaan dan sebagainya.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.