MRSM TUN GHAFAR BABA UNGGULI DEBAT ASEAN

PELAJAR MRSM Tun Ghafar Baba, dari kiri; Khairul Rijal, Ammaina, Nadira Akma dan Muhammad Irsyad menunjukkan piala kejuaraan debat MRSM – Sekolah-Sekolah ASEAN 2012.

 

Juara gondol wang tunai RM3,000 bersama piala pusingan

TANJUNG MALIM: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka mengungguli Pertandingan Debat MRSM – Sekolah-Sekolah ASEAN 2012, kategori Bahasa Melayu, sekali gus merangkul wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.

Pendebat sekolah berkenaan diwakili Khairul Rijal Mohd Zuki, Nadira Akma Hamdan, Ammaina Jamaludin serta Muhammad Irsyad M Yasin, menewaskan pasukan saingan MRSM Pontian, Johor peringkat akhir.

Pertandingan debat berlangsung di MRSM FELDA, Trolak, dekat sini, turut menyaksikan Khairul Rijal, 17, diumumkan sebagai Pendebat Terbaik bagi kategori berkenaan dan menggondol wang tunai RM300.

Bagi kategori Bahasa Inggeris, pasukan MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan yang diwakili Nur Nadhirah Syahmi Abdullah Zawawi, 16; Anis Nadhirah Hussein, Muhammad Husaini Ab Aziz dan Nurul Aniqah Shazween Muhamad Azman, masing-masing Tingkatan Lima, muncul juara dengan menewaskan MRSM Kuching.

Kumpulan itu membawa pulang wang tunai RM3,000 serta piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.

Mereka yang memperdebatkan tajuk ‘This House Believes That It Is Time For ASEAN To Have A Parliament’ memperlihatkan kematangan berhujah dalam Bahasa Inggeris yang akhirnya menyaksikan kategori Pendebat Terbaik Inggeris diraih, Nadhirah Syahmi.
Terdahulu Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek ketika membacakan teks ucapan mewakili menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pertandingan itu adalah satu pelaburan dalam usaha melahirkan pemimpin berkaliber pada masa depan.

Katanya, perdebatan adalah medan untuk pelajar mengasah bakat serta mengembangkan potensi, minda dan mencungkil kemahiran berfikir.

“Menerusi pertandingan seumpama itu, pelajar berpeluang melontarkan idea bernas, tepat dan jitu sebagai latihan mencipta diri menjadi pemimpin berkeupayaan menegakkan pendapat yang jelas dan kukuh,“ katanya.

Sementara itu, pendebat dari Sekolah Agama Tawalib Parabit, Bukit Tinggi di Indonesia, Muhammad Rizki Eka Putera,19, muncul Pendebat Terbaik Sekolah-Sekolah ASEAN dan membawa pulang wang tunai RM300, plak dan sijil.

Sumber artikel : Berita Harian http://view.my/bharianmrsm

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.