MAJLIS KERJASAMA PROGRAM INDUSTRI KREATIF ANTARA MARA DAN KRU ACADEMY

YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengerusi MARA dan Norman KRU menyaksikan Pertukaran Dokumen.

Majlis Kerjasama Program Industri Kreatif Antara MARA dan KRU Academy pada 31 Mei 2012, Khamis, bertempat di Dewan Utama, Aras 6, Menara MARA, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, jam 10.00 pagi. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA). Turut hadir, Yang Berbahagia Encik Norman Abdul Halim, Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU dan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Nazarudin Abdul Jalil selaku Pengerusi KRU Academy.

Seramai 150 jemputan hadir memeriahkan majlis ini yang terdiri daripada YB dan Ybhg. Ahli Majlis MARA, Tuan Haji Mohd Rosdi bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) MARA, Ahli Pengurusan MARA, CEO Subsidiari MARA dan Wakil Pelajar Institusi Pengajian MARA (IPMa). Majlis pelancaran tersebut telah menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman bagi memeterai perjanjian kerjasama dalam bidang industry kreatif antara MARA dan KRU Academy. Mulai bulan 2hb Julai 2012, KRU Academy akan memperkenalkan 3 (tiga) program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi bidang kemahiran Kemahiran Kesan Khas Visual,Animasi 3D dan Animasi 2D, selaras dengan pelan Kerajaan Malaysia untuk mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi, membudayakan inovasi dan kreativiti, serta meningkatkan kemahiran dan jumlah modal insan tempatan yang berkualiti dalam industri kreatif.

Selain daripada tenaga pengajar yang berpengalaman, KRU Academy juga turut menyediakan perisian komputer yang terkini untuk menghasilkan kandungan kreatif yang bertaraf antarabangsa. Kesemua kursus adalah direka khas oleh pakar-pakar industri kreatif berteraskan konsep latihan praktikal sejajar dengan perkembangan semasa industri media dan hiburan di peringkat global. Industri kreatif khususnya bidang penghasilan kesan khas visual, animasi 3D dan 2D mampu menjana pulangan ekonomi yang besar kepada negara. Kewujudan KRU Academy akan memberi satu dimensi baru kepada ekosistem industri media dan hiburan negara dengan menyediakan keperluan tenaga kerja yang terlatih, berkaliber serta kreatif.

Sesi pertama pengajian akan bermula pada 2hb Julai 2012, melibatkan pengambilan seramai 150 orang pelajar lepasan SPM. Syarat kelayakan adalah lulus peperiksaan SPM dan mereka yang mempunyai kemahiran melukis akan diberi keutamaan. Pemohon boleh memilih untuk mengikuti pengajian dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris, dan harus lulus ujian buta warna di sesi temuduga.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.