MARA BERSAMA YB MENTERI KKLW BERTEMU RAKYAT

YB Menteri menyampaikan cek UK Dinamik kepada penerima.

Bersempena dengan lawatan kerja rasmi YB Dato’ Seri Mohd. Shafie bin Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, ke negeri Kedah Darul Aman, MARA telah mengadakan Program Semarak Budi di Kolej MARA Kuala Nerang. Program Semarak Budi memberi fokus ke arah membangunkan nilai dan jatidiri pelajar serta menyedarkan mereka mengenai isu-isu semasa. Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Shafie mengingatkan para pelajar betapa pentingnya mereka mengambil peluang untuk berjaya dalam pendidikan seterusnya menyumbang kembali untuk membangunkan masyarakat kelak. Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa kementerian dan kerajaan akan terus berusaha untuk membangunkan masyarakat luar bandar terutamanya dalam bidang pendidikan.

 

Pada majlis yang sama juga, pihak MARA turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan cek Usahawan Kecil Dinamik kepada sebahagian daripada penerima pakej bantuan tersebut. Usaha ini diharapkan dapat membantu usahawan kecil untuk berjaya dan seterusnya mencipta kekayaan kaum Bumiputera secara keseluruhannya.

 

Selain program Semarak Budi, YB Menteri turut berkesempatan menghadiri Program Mesra Rakyat di Parlimen Merbok yang dianjurkan oleh GIATMARA. Program telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Setia Wangsa, Bukit Selambau pada 20 Mac jam 3.30 petang. Selain bertemu rakyat, Dato’ Seri Shafie juga turut meluangkan masa melawat beberapa buah rumah di bawah pakej Program Bantuan Rumah Rakyat di daerah berkenaan.

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Pendidikan. Bookmark the permalink.