PROGRAM TANAMAN POKOK KERJASAMA KKTM BERANANG, OIMC DAN YPM

Program Tanaman Pokok Kerjasama Kolej Kemahiran Tinggi (MARA) Beranang, OISCA International Malaysian Chapter (OIMC) dan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah diadakan pada 15 Mac 2012, Khamis, jam 11.00 pagi, bertempat di Kolej Kemahiran Tinggi (MARA) Beranang, Selangor.

 

Program ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA). Turut hadir di program ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Tuan Haji Abd Rahim bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Pembangunan & Pelaburan Subsidiari (MARA) merangkap Setiausaha OISCA, Encik Azhar bin Abdul Manaf, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran MARA, Encik Mohd Zaki bin Jali serta Pengarah-pengarah Sektor Pendidikan MARA.

 

Program ini diadakan bersempena dengan Sambutan Hari MARA ke-46dan bertujuan sebagai penggerak kepada program menghijaukan bumi di pejabat-pejabat institusi pendidikan/ latihan MARA. Selain itu, program ini dianjurkan bertujuan untuk menghijaukan persekitaran kawasan kolej dengan perancangan yang teliti dengan kerjasama semua warga koleh, memupuk kesedaran dan minat warga kolej tentang kepentingan pertanian dalam kehidupan seharian, membina keyakinan dan kekuatan moral warga kolej melalui pertanian agar tidak terkongkong dengan persekitaran pengajaran dan pembelajaran sahaja, dan juga untuk mewujudkan sikap bekerjasama dalam melaksanakan segala tugas yang diberi.

 

Sempena program ini, sebanyak 50 pokok terdiri dari pokok jambu batu, mangga, delima dan bakau telah ditanam, dengan YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad, Ketua Pengarah MARA, menyempurnakan simbolik penanaman pokok jambu batu di perkarangan Dewan Besar Hyogo, Kolej Kemahiran Tinggi (MARA) Beranang.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.