MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN HARI MARA KE-46

Majlis Perasmian Sambutan Hari MARA ke-46  telah diadakan pada 1 Mac 2012, Khamis, bertempat di Dewan Utama, Aras 6, Menara MARA, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, jam 2.30 petang.

Majlis Perasmian tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mohd Shafie bin Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Dato’ Hasan bin Malek, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Dato’ Ibrahim Muhamad, Pengerusi MARA, YB Dato’ Seri Idris Jusoh dan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat, YB Datuk Ibrahim Ahmad. Seramai 800 jemputan hadir memeriahkan majlis ini yang terdiri daripada CEO Agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Ahli Majlis MARA, Ahli Pengurusan MARA, Mantan Pengerusi MARA, Mantan Ketua Pengarah MARA, Mantan Timbalan Ketua Pengarah & Pengarah Kanan MARA , Ahli Lembaga Pengarah Subsidiari MARA, CEO Subsidiari MARA, Pengawal Pusat MARA seluruh negara, Rakan Strategik MARA, Anggota Kerja MARA dan Wakil Pelajar Institusi Pengajian MARA (IPMa).                                                                                           

               

Bertemakan ‘Transformasi Memartabatkan Bangsa’, Majlis Perasmian Sambutan Hari MARA ke-46 ini turut dimuatkan dengan Montaj Pelancaran Sambutan Hari MARA ke-46, Pelancaran Lagu Korporat MARA yang baru bertajuk AMANAH RAKYAT dan Pelancaran Pelaburan MARA Berhad. Majlis Perasmian Sambutan Hari MARA ke-46 ini di mulakan dengan lawatan Yang Berhormat Menteri ke tapak pameran Rumah Mampu Milik IBS-MARA di lobi Medan MARA. 

 

Program Rumah Mampu Milik IBS-MARA ini melihatkan Syarikat  Glocal Link (M) Sdn Bhd (GLSB) memperkenalkan Rumah Mampu Milik IBS-MARA diseluruh negara khusus bagi anggota kerja MARA dan syarikat subsidiari MARA. Program ini akan diperluaskan kepada seluruh rakyat Malaysia yang berpendapatan bulanan isi rumah antara RM2,500 dan RM5,000 sebulan. Setiap satu unit rumah dianggarkan berkeluasan antara 1000 kps hingga 2200 kps dengan kos  jualan bermula RM100,000.00. Di antara syarikat pempamer (exhibitor) yang terlibat merupakan, Glocal Link (M) Sdn Bhd , Gabungan Pengeluar dan Pengedar IBS (Gabungan 8 syarikat Pengeluar IBS Bumiputera MARA), Global Globe (M) Sdn Bhd, Binaan Desjaya Sdn Bhd dan IBS Interlocking Brick Sdn Bhd.

 

 AMANAH RAKYAT, lagu korporat MARA yang baru merupakan suara hati yang menggambarkan   laluan perjuangan, harapan dan keyakinan sebuah organisasi unggul, Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk terus membawa anak bangsa yang berdaulat mara ke persada dunia sehingga menuju ke puncak kecemerlangan. Ungkapan keramat ‘AMANAH RAKYAT’  yang dizahirkan pada tahun 1966 dahulu kini terus dijunjung oleh MARA. Atas tanggungjawab  ‘Demi satu amanah mulia ’ inilah, maka ramai para cendekia dan usahawan cemerlang dilahirkan oleh MARA. Masa hadapan terus digapai dengan bersemangat perintis, penuh tekad dan keyakinan bagi mengharungi era globalisasi yang semakin mencabar kini.  Diilhamkan oleh Dato’ Mohd Nasir Mohamed, lirik lagu AMANAH RAKYAT di cipta oleh Mohd Khirin Omar bersama Dato’ M.Nasir Mohamed dan di nyanyikan oleh Sharifah Zarina Wan Hasan.

 

Pelancaran Pelaburan MARA Berhad melibatkan pelancaran nama dan logo baru, yang merupakan  Penjenamaan Baru kepada Amanah Saham MARA Berhad. Pelaburan MARA Berhad (PMB) wujud untuk memperkukuhkan dan memperkasakan sebuah entiti perniagaan milik Bumiputera ke satu tahap yang lebih cemerlang untuk terus relevan dan seiring dengan perubahan yang berlaku dalam industri pelaburan dan kewangan negara. Penjenamaan dan transformasi daripada Amanah Saham Mara Berhad kepada Pelaburan MARA Berhad adalah juga bertujuan untuk membentuk persepsi minda, memantapkan halatuju serta pendekatan syarikat induk dan anak-anak syarikatnya dalam mencapai sasaran perniagaan. Nama dan penampilan logo baru yang segar memaparkan bahawa ASMB terus mengorak langkah secara strategik untuk mempelbagaikan jaluran perniagaannya ke tahap yang lebih tinggi.  Daripada sebuah syarikat yang hanya melibatkan diri dalam pengurusan saham amanah dan pengurusan dana, PMB akan melebarkan sayap untuk menjadi konglomerat pelaburan dan kewangan. Aktiviti-aktiviti kewangan yang berpotensi termasuklah pembiayaan perniagaan, kawalan kredit, pembangunan usahawan, khidmat nasihat kewangan dan pelaburan, Ar-Rahnu serta Takaful. 

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.