SASAR 100,000 USAHAWAN BUMIPUTERA IKS

MOHD.Shafie Apdal sempat mempromosi tepung gandum dari Kedai Rakyat 1Malaysia kepada Mohd. Din Yasin di Kampung Ayer Paabas, Alor Gajah, Melaka, semalam. Gambar- Utusan Malaysia Online

ALOR GAJAH 28 Jan. – Kerajaan akan menyalurkan bantuan sebanyak RM1 bilion bagi melahirkan lebih ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera dengan sasaran 100,000 orang terlibat tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setakat ini pembabitan usahawan bumiputera yang terlibat dalam IKS berjumlah 200,000 daripada 800,000 usahawan dalam sektor itu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 88 peratus adalah syarikat-syarikat kecil dan mikro yang menghasilkan pendapatan kurang daripada RM250,000 setahun, selain mempunyai kurang daripada lima pekerja.

“Senario ini menunjukkan masih terdapat jurang perbezaan yang ketara antara usahawan bumiputera dengan kaum-kaum lain.

“Seharusnya usaha lebih gigih perlu dilakukan untuk mengecilkan jurang ini sekali gus meningkatkan ekuiti pegangan bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara.

“Saya melihat masih ada ruang kepada golongan bumiputera untuk menceburi bidang IKS melalui pelbagai peruntukan yang disediakan oleh kerajaan yang perlu direbut oleh golongan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Merakyatkan Keusahawanan peringkat negeri di Dataran Keris di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan.

Mohd. Shafie menegaskan, kementerian dan agensi terbabit sedang berusaha untuk meningkatkan jumlah usahawan IKS bumiputera menerusi peruntukan yang disediakan sebagai galakan kepada mereka.

Katanya, banyak golongan bumiputera yang gagal dalam IKS kerana faktor kewangan, ruang berniaga, kelemahan pengurusan dan kekurangan tenaga kerja.

Justeru beliau berkata, semua masalah itu akan cuba diatasi sebaik mungkin oleh pihak kementerian serta agensi terlibat bagi memastikan lebih ramai bumiputera menceburi bidang IKS.

Katanya, Mara menyediakan peruntukan untuk diagih-agihkan kepada setiap negeri menerusi pinjaman kewangan di bawah RM500,000 tanpa sebarang cagaran.

Sumber artikel : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm

 

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.