MAJLIS MENANDATANGANI MOU ANTARA SHAPERS MALAYSIA SDN BHD DENGAN MARA DAN CIMB ISLAMIC BANK BERHAD BERSEMPENA PROGRAM HALFEST 2011

HALAL Fiesta Malaysia (Halfest) 2011, ekspo halal terbesar di Malaysia yang akan berlangsung 12 hingga 16 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) anjuran Shapers Malaysia Sdn Bhd (Shapers Malaysia) dan Mara berserta CIMB Islamic yang menjadi penaja utama, dijangka mampu menjana nilai urus niaga kira-kira RM25 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia, Mohd Shukri Abdullah berkata, unjuran itu sangat realistik dan mampu dicapai, lebih-lebih lagi dengan anggaran kunjungan 50,000 pelawat yang dijangka menghadiri ekspo lima hari itu.

“Jika diukur pada penganjuran Mihas (Pameran Halal Antarabangsa Malaysia) kedua lalu, urus niaga kira-kira RM60 juta dijana dengan jumlah pelawat mencecah 36,000, maka kami optimis penganjuran Halfest 2011 ini akan menjana urus niaga sekurang-kurangnya RM25 juta.

“Setakat ini proses penganjuran berjalan sangat lancar dan memberangsangkan dengan 572 daripada 727 ruang pameran sudah dijual. Kami jangkakan setiap ‘gerai’ mampu menjana keuntungan antara RM7,000 hingga RM8,000 atau mengaut keuntungan bersih kira-kira RM5,000,” katanya selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Shapers Malaysia, Mara dan CIMB Islamic Bank Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin; Pengerusi CIMB Islamic Bank, Datuk Dr Syed Muhamad Syed Abdul Kadir dan Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mohd Rosdi Ismail.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata, pihaknya memperuntukkan RM1.95 juta atau 35 peratus daripada kos penganjuran Halfest 2011 sebanyak RM5.5 juta untuk tujuan pengiklanan dan promosi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif CIMB Islamic Bank, Badlisyah Abdul Ghani berkata, Halfest 2011 bakal menyaksikan sistem urus niaga unik menggunakan kad elektronik Touch & Go sebagai landasan utama pembayaran.

“Tujuannya ialah untuk menggalakkan perbelanjaan tanpa tunai seiring dengan hasrat kerajaan. Mungkin tahun ini tidaklah keseluruhannya menggunakan corak pembayaran seperti ini, tapi kami sasarkan untuk melaksanakan sistem urus niaga tanpa tunai sepenuhnya dalam penganjuran Halfest akan datang,” katanya.

 Sumber artikel : http://www.hmetro.com.my/articles/JangkajanaurusniagaRM25j/Article

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.