PELAJAR UNIKL DUTA MUDA ALAM SEKITAR

Natassia Jualianna wakili Malaysia ke peringkat global Oktober

Cyberjaya : Pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Kimia, Universiti Kuala Lumpur (UnikL), Natassia Jualianna Zaini, 22, dari Ampang diumumkan sebagai pemenang Anugerah Duta Muda Alam Sekitar Bayer 2011.

 Kemenangan itu membolehkan Natassia Jualianna dicalonkan mewakili Malaysia ke Anugerah Duta Muda Alam Sekitar Bayer peringkat global yang bakal berlangsung di Jerman, pada Oktober ini.

 

Natassia Jualianna berkata, beliau berasa gembira kerana dapat mewakili Malaysia ke Anugerah Duta Muda Alam Sekitar Bayer peringkat global, dua bulan lagi.

 

“Saya berharap penyertaan ini  membolehkan saya mengharumkan nama negara pada peringkat global dan mampu memupuk budaya di kalangan generasi muda supaya sentiasa menjaga dan mencintai keindahan alam sekitar,” kata kepada pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang Anugerah Duta Muda Alam Sekitar Bayer 2011 peringkat Malaysia di sini.

 

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Cyberview Lodge & Spa di sini.

 

Hadir sama, Duta Jerman ke Malaysia, Dr Guenter Gruber, Pengarah Urusan Bayer Asia Tenggara, Marcus Yim; Pengarah Urusan Bayer Co Malaysia, Herbert Dittmar; serta Timbalan Naib Cancelor Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Tai Shzee Yew.

 

Terdahulu, dalam ucapannya, Rosmah berkata, pengiktirafan itu penting dalam mendidik generasi muda dan rakyat Malaysia secara amnya mengenai penjagaan alam sekitar untuk memastikan generasi akan datang turut dapat menikmati keindahannya, nanti.

 

Katanya, beliau juga percaya pemenang Anugerah Duta Alam Sekitar berkenaan dapat menjadi individu terbaik bagi mempromosi dan meningkatkan kesedaran orang ramai terutama generasi muda mengenai kepentingan alam sekitar.    

  

Sumber artikel : Berita Harian 15/8/11 (Isnin) Sentral ms 21.

Gambar : http://www.unikl.edu.my

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan, Pendidikan. Bookmark the permalink.