EKSPEDISI BERKAYAK JELAJAH PULAU PINANG KKTM/IKM SE-MALAYSIA 2011

Kolej Kemahiran Tinggi MARA Balik Pulau (KKTMBP) dengan kerjasama Bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT) MARA  telah menganjurkan Ekspedisi Berkayak Jelajah Pulau Pinang KKTM/IKM Se-Malaysia 2011 pada 22 – 26 Julai 2011 sempena menyambut bulan Kemerdekaan seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak baru-baru ini. 

 

Ekspedisi ini adalah julung kali diadakan  dimana ia melibatkan pelajar-pelajar dari 21 pusat Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) seluruhMalaysiatermasuk Sabah danSarawak. Seramai 84 orang peserta dengan 42 buah kayak mengelilingi Pulau Pinang selama 5 hari 4 malam.

 

Majlis dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Dr Hilmi Bin Haji Yahaya, ADUN Telok Bahang di Pusat Kegiatan Sukan Air (PKSA) Jabatan Pelajaran Teluk Kumbar. Peserta ekspedisi bermalam di 4 hentian iaitu PKSA Teluk Kumbar, Pulau Aman, PKSA Tanjung Bungah dan di Kem BiroTatanegara Balik Pulau sebelum kembali semula dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang semasa kembali ke PKSA Teluk Kumbar.

 

Ekspedisi ini telah mendapat kerjasama dari pelbagai agensi keselamatan seperti Polis Gerakan Marin (W1) Pulau Pinang, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Jabatan Laut, dan pelbagai agensi lain. Cuaca yang tidak menentu di tambah lagi keadaan laut bergelora memberi cabaran yang getir kepada peserta. Namun begitu keselamatan para peserta masih sentiasa dipantau oleh pihak penganjur, petugas keselamatan dan paramedik.

 

Para peserta amat gembira dapat menamatkan ekspedisi kali ini dengan jayanya disamping mendapat pendedahan mengenai kepentingan berkomunikasi, membina keyakinan diri, semangat kerja berkumpulan dan memupuk sifat kepimpinan dikalangan serta mengeratkan hubungan silaturahim dikalangan peserta KKTM/IKM.

 

Kibaran Jalur Gemilang setibanya di acara penutup ekspedisi bertujuan menanamkan semangat patriotik dikalangan peserta. Majlis penutup telah disempurnakan oleh YB Tuan Syed Amerruddin Bin Dato’ Syed Ahmad, ADUN Bayan Lepas.            

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.