YBHG. DATUK KETUA PENGARAH MARA DIRAI DI SK GEMEREH

SK Gemereh Segamat dengan kerjasama Yayasan Pelajaran MARA (YPM) telah mengadakan satu majlis Sirih Pulang Ke Gagang pada 26 Jun 2011 bagi mengingati tempat bermulanya pendidikan peringkat formal yang dilalui oleh Datuk Ibrahim bin Ahmad, Ketua Pengarah MARA. Majlis tersebut dihadiri oleh Guru, Pelajar SK Gemereh dan SMK serta masyarakat setempat. Turut hadir adalah rakan-rakan Datuk Ibrahim ketika zaman persekolahannya di sekolah tersebut.

 

Dalam ucapannya, beliau mengimbau kembali zaman persekolahan di SK Gemereh bermula dari tahun 1964, di mana beliau telah dididik oleh kumpulan pendidik terbaik yang mana sebahagian besarnya telah kembali ke Rahmatullah. Walau pun pelbagai kekurangan serta boleh dikira sebagai kawasan luar bandar, tetapi SK Gemereh telah berjaya melahirkan begitu ramai tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang sama ada di sektor awam mahu pun swasta. Datuk Ibrahim turut mengucapkan terima kasih kepada semua guru atas didikan serta memberinya peluang untuk menjadi Ketua Umum sekolah tersebut yang mana ia menjadi batu asas membina bakat kepimpinan dalam dirinya.

 

Pada majlis yang sama, Datuk Ibrahim turut berkesempatan merasmikan Anjung Ilmu sumbangan YPM. Anjung Ilmu merupakan satu pendekatan YPM untuk membantu sekolah terutamanya yang terletak diluar bandar supaya mendapat pendedahan kaedah e-learning serta menyediakan kemudahan komputer bagi mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Selain itu, GIATMARA juga turut memberikan perkhidmatan membaikpulih serta menceriakan beberapa prasarana sekolah.

 

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Pendidikan. Bookmark the permalink.