DARAH SENI KAMARUDDIN

Darah seni Kamarudin
Oleh Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
Sumber Gambar Berita Harian Online

Sumber Gambar Berita Harian Online

Sesi jamming bersama rakan-rakan lama imbau kenangan zaman persekolahan, muzik terus segar dalam diri bos AirAsia

PERTEMUAN sulung penulis dengan ‘orang kuat’ syarikat penerbangan tambang murah terkemuka dunia ini tidak langsung bertujuan membicarakan soal operasi syarikat, jauh sekali bertanya mengenai promosi terbaru AirAsia.

Sebaliknya, dalam suasana penuh santai di sebuah kafe di Bangsar, Kuala Lumpur, Isnin lalu, Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun berbicara mengenai sisi berbeza dirinya. Pada pertemuan itu, Kamarudin menyelongkar secara eksklusif bersama sisipan Sabtu, rahsia di sebalik kecintaannya terhadap dunia muzik.

Jelas muzik memberi pengaruh yang cukup mendalam kepada Kamarudin. Muzik, khususnya dari era 1970-an hingga 1980-an begitu sebati dengan dirinya jika dilihat dari genre muzik yang diminati beliau.

Selain muzik pop seperti dendangan kumpulan Bee Gees dan Carpenters, beliau turut dipengaruhi muzik rock kumpulan Deep Purple dan Bad Company, progresif rock kumpulan Genesis dan Supertramp serta irama R&B dan soul kumpulan Earth, Wind & Fire.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Kamarudin pernah bekerjasama dengan rakan baik yang juga komposer tersohor, Roslan Aziz hingga terciptanya label muzik Roslan Aziz Production (RAP) pada 1988. Ketika era itu, RAP mencipta fenomena tersendiri dengan barisan artisnya yang gah hingga hari ini malah tidak keterlaluan jika entiti ini dianggap sebagai pencetus revolusi baru dalam dunia muzik tempatan.

Cinta Kamarudin terhadap dunia muzik tidak pernah padam sekalipun komitmen dirinya terhadap AirAsia menuntut beliau berkorban lebih banyak masa selain memberi keutamaan tidak berbelah bagi terhadap syarikat.

Dalam kesibukan memenuhi jadual dan mesyuarat di merata-rata tempat, siapa sangka beliau sempat mencuri waktu untuk menyertai sesi ‘jamming’ bersama rakan-rakan seasrama ketika zaman persekolahan dulu bagi melepaskan gian.

“Dengan minat yang ada inilah saya berpeluang bertemu kembali dengan rakan-rakan untuk jamming bersama. Apabila kami berkumpul, jari yang lembut kembali keras apabila asyik memetik gitar.

“Begitu mengujakan apabila masa ini turut dilalui dengan mengimbas kenangan lalu ketika menetap di asrama. Mungkin kenangan ini sukar difahami termasuk isteri sendiri, tetapi walaupun berkali-kali cerita yang sama diulang-ulang, keseronokan dan kenangan itu sendiri sentiasa menghiburkan kerana zaman remaja hanya dilalui sekali,” kata Kamarudin mengimbas kenangan ketika menjadi penuntut kumpulan perintis di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan pada 1974.

Status dirinya sebagai ahli korporat tidak sesekali membataskan sempadan protokol malah Kamarudin tampil dalam persalinan cukup sederhana dalam pertemuan bersama sisipan Sabtu. Menggayakan kemeja berkotak dan seluar denim, topi yang tertera logo AirAsia memperlihatkan mode santai dirinya persis karakter dirinya sejak dulu lagi.

Terus rancak bercerita, Kamarudin teringat pula nostalgia berjinak-jinak bermain gitar tong ketika mula mengenal muzik.

Membuka kisah individu di sebalik kumpulan jamming yang mahu dikenali sebagai Mr Natural, Kamarudin berkata, selain dirinya yang bertindak sebagai pemain gitar bass, anggota lain termasuk Roslan Aziz, Mustafa Ramli, Zulkifli Jaafar Sidek dan Syed Naser. Semua mereka adalah bekas penuntut MRSM lebih 30 tahun lalu!

“Idea penubuhan band muzik ketika zaman pengajian di MRSM adalah atas dorongan guru yang mahu aktiviti muzik subur di sekolah berasrama penuh ini. Ketika itu, tidak banyak pilihan bentuk hiburan yang ada bagi pelajar selain tumpuan kepada bidang akademik dan sukan.

“Dengan sejumlah 142 pelajar lelaki, kemampuan bermain alat muzik sudah dianggap hebat. Secara tidak langsung, semua orang akan bermain muzik walaupun sekadar gitar tong,” kata Kamarudin sambil bercerita kisah Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (Malaysia) Berhad, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly yang turut memiliki band muziknya sendiri ketika menuntut di MRSM.

Kamarudin berkata, perkembangan muzik Barat era 1970-an banyak mempengaruhi minatnya terhadap dunia muzik ketika zaman remaja. Beliau menyifatkan melodi pada era itu menarik dengan kepelbagaian dan penuh melodi mengasyikkan.

“Mengembalikan nostalgia ketika zaman sekolah dulu, siapa sangka kami berempat sekali lagi berpeluang berkongsi pentas menjayakan persembahan di majlis alumni bekas pelajar terawal MRSM Kuantan 1974 di dewan sekolah kami sendiri, baru-baru ini.

“Bayangkan, masing-masing yang sudah lebih 30 tahun meninggalkan MRSM bersatu dan seolah-olah menjadi seperti budak sekolah kembali apabila mengadakan persembahan band Mr Natural,” katanya sambil tergelak mengingatkan gelagat mereka mempersembahkan lima lagu termasuklah Wish You Were Here oleh Pink Floyd dan Cinta Hampa yang dipopularkan oleh D’lloyd pada persembahan itu.

Acara ulang tahun Alumni khusus untuk pelajar perintis MRSM Kuantan yang diadakan bulan lalu dihadiri lebih 90 bekas pelajar dari seluruh negara termasuk dari Sabah dan Sarawak termasuk mereka yang menetap di Manchester, United Kingdom (UK) dan Perth, Australia.

Ditanya apakah beliau masih mengikuti perkembangan muzik rentak terkini, secara peribadi Kamarudin menyimpulkan, muzik masa kini lebih cenderung kepada irama yang menggunakan bunyi tiruan serta sampling berbanding era 1970-an dan 1980-an yang mengutamakan dan kaya dengan melodi. Beliau berpendapat bahawa penyatuan kedua-dua kecenderungan ini akan menghasilkan muzik hibrid yang menarik seperti yang banyak dibuat pada lagu-lagu lama yang sering diberi nafas baru melalui susunan semula.

Kamarudin berkata, anak-anaknya juga meminati muzik, malah beliau menyediakan kelengkapan muzik yang lengkap di rumah bagi mendorong minat anak-anaknya terhadap muzik.

“Jika anak-anak saya berminat untuk mendalami bidang muzik, saya tidak menghalang asalkan mereka dapat mengimbangi antara muzik, pelajaran dan paling penting pendidikan agama sebagai pegangan hidup di dunia dan akhirat. Dengan prinsip ini, Insya Allah, mereka akan menjadi insan yang serba boleh.

“Saya juga meletakkan syarat untuk mereka bermain muzik di rumah hanya pada hujung minggu. Alhamdulillah mereka patuh dengan syarat ini. Sebagai bapa, saya tidak menghalang, malah menggalakkan hobi yang positif ini asalkan mereka pandai membahagikan masa.

“Saya percaya, sokongan begini akan dapat mengelak mereka daripada dipengaruhi gejala negatif yang wujud di kalangan anak muda sekarang,” katanya.

Falsafah hidup

BESAR makna yang tersirat di sebalik pegangan Kamarudin menyentuh soal resipi kejayaan dalam profesion diceburi. Bagi Kamarudin, kejayaan dalam sesuatu pekerjaan dalam bidang yang diceburi memerlukan kesungguhan. Selain itu, laluan mencapai kejayaan juga memerlukan seseorang itu benar-benar memahami apa yang dilakukan.

 “Kita perlu memahami keupayaan diri dan apa yang kita inginkan. Minat ini serta kesungguhan adalah faktor yang akan membantu kita mencapai kejayaan. Jati diri ini akan mengelak kita daripada terikut-ikut dengan trend semasa, contohnya apabila kita melihat seseorang itu berjaya dalam sesuatu perniagaan, sedangkan kita tidak ada kepakaran dan minat ke arah itu.

“Kesimpulannya, walaupun kita mempunyai wang atau memiliki modal yang banyak sekali pun, jika kita tidak arif dan memiliki minat mendalam dalam sesuatu bidang, memang apa yang kita cita-citakan agak sukar menjadi kenyataan. Insya Allah, dengan persediaan kesungguhan, minat yang mendalam, kepakaran yang disertakan dengan keikhlasan, kita akan mendapat kejayaan dengan izin Allah,” katanya.

Sumber Berita Harian Online

This entry was posted in Berita Kejayaan. Bookmark the permalink.