MAJLIS GRADUASI A-LEVEL SESI 2008/2010 KOLEJ MARA SEREMBAN

Majlis Graduasi A-Level Sesi 2008/2010 Kolej MARA Seremban telah diadakan di Hotel Royale Bintang pada 30 September 2010 bagi meraikan pelajar-pelajar A-Level Kolej MARA Seremban yang telah menamatkan pelajaran dalam program A-Level dan seterusnya melanjutkan pelajaran mereka ke Australia dan New Zealand. 

Perasmian majlis dan penganugerahan telah disempurnakan oleh Prof Dato’ Ibrahim Ahmad Bajunid, Naib Presiden /Timbalan Naib Canselor Kolej Universiti Inti. Dalam ucapan perasmian, beliau  memulakan ucapan dengan merujuk kepada banyak transisi dalam kehidupan dan setiap graduan perlu tahu jenis cabaran yang akan dihadapi pada setiap titik transisi ini. Justeru setiap graduan mesti bersedia  dengan nilai-nilai dan kemahiran yang sejagat yang merentasi zaman.  Setiap orang berpeluang membina tamadun sendiri dan jangan benarkan orang lain menguasai minda kita. Jadilah jaguh kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat dan umat manusia. Dalam ucapannya juga beliau menyarankan setiap graduan untuk menggubal prinsip hidup sendiri sebagai pegangan hidup.

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran Tn Hj. Azmi Mohamad, Pengarah Bahagian Pengajian Tinggi MARA. Tetamu yang turut hadir terdiri daripada ahli pengurusan MARA, pengarah-pengarah IPMA, staf Kolej MARA Seremban, serta para ibu bapa.

Program A-Level ini memakan masa selama 2 tahun. Daripada 128 orang pelajar yang mengikuti Program A-Level Ambilan 9 ini, 103 orang adalah daripada jurusan Kejuruteraan, 16 orang graduan daripada jurusan TESL dan 9 orang graduan jurusan Perakaunan.

Anugerah Kecemerlangan Akademik diterima oleh Zulfadzli Zohari (Kejuruteraan), Mohamad Kamal Hilmi W Mahmood (Kejuruteraan), Muhammad Haris Idris (Kejuruteraan), Mohamad Nasrul Hadi M Alham (TESL) dan Hafiza Seri Tambak (Perakaunan). Penerima  Anugerah Kecemerlangan Ko-Kurikulum adalah Mohd Harith Mohamad Kamaludin dan Wan Zanariah Zainal Abidin.

Sementara itu, penganugerahan Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan yang dinobatkan kepada saudari Wan Zanariah Zainal Abidin merupakan acara kemuncak pada majlis ini.

Majlis turut diserikan dengan persembahan multimedia dan disusuli dengan sesi fotografi graduan A-Level. Majlis diakhiri dengan jamuan makan bersama Prof Dato’ Ibrahim Ahmad Bajunid.

 

This entry was posted in Pendidikan and tagged , . Bookmark the permalink.