SISTEM PENDIDIKAN MARA TERUS DIYAKINI

YAB Dato' Seri Mohd. Najib bin Tun Hj. Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia bersalaman dengan pelajar-pelajar MRSM Felda bersempena dengan Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan.

Tanggal 7 Julai 2010, satu lagi detik bersejarah tercipta dengan terasminya Maktab Rendah Sains MARA FELDA (MRSM FELDA), Kampus Tun Abdul Razak di Trolak, Perak. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Hj. Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia bersempena dengan Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan.

Selepas beliau merasmikan Sambutan Hari Peneroka di padang MRSM FELDA, YAB Perdana Menteri dibawa untuk melawat dan seterusnya merasmikan Kompleks MRSM FELDA pula. Maktab ini merupakan MRSM ke-39 daripada 43 MRSM yang diwujudkan oleh MARA dengan kerjasama pihak FELDA dan mula beroperasi sejak 4 Januari 2010 Seramai 210 orang pelajar sulung tingkatan satu telah terpilih untuk mengikuti pengajian di maktab ini yang pada awalnya beroperasi di Bangunan Sementara di Felda Jaya Utara, Trolak pada tahun 2008 hingga 2009. Sebanyak 80% pelajarnya adalah terdiri daripada anak peneroka FELDA dari seluruh negara.

Maktab ini turut mengabadikan nama Allahyarham Tun Abdul Razak dengan menamakan institusi ini sebagai Kampus Tun  Abdul Razak. Semasa ucapannya, YAB Perdana Menteri melahirkan rasa terharu dan penghargaan kepada pihak MARA dan FELDA kerana menjadikan ayahanda beliau sebagai ikon di pusat pendidikan terulung seperti MRSM FELDA. 

 Melalui kerjasama dengan pihak FELDA, MRSM FELDA telah dilengkapi dengan peralatan tercanggih serta mempunyai segala kemudahan terkini untuk memberi keselesaan dan suasana pembelajaran terbaik kepada para pelajar. Pembukaan MRSM FELDA ini juga membuktikan bahawa sistem pendidikan MARA terus diyakini serta mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat di negara kita.

Sebelum ini MARA telah pun mengadakan kerjasama dengan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dengan tertubuhnya MRSM Terendak pada tahun 1983 dan MRSM PDRM Kulim pada tahun 1991. MRSM FELDA  ini mampu menampung seramai 1200 orang pelajar dalam satu-satu masa dan berdasarkan perancangan maktab ini bakal  melaksanakan program ‘International Baccalaureate’ (IB) untuk membolehkan para pelajarnya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.