TRANSFORMASI KERAJAAN & PELAKSANAAN RMK-10

YBhg. Dato' Ibrahim Muhamad, Ketua Pengarah MARA (Kiri) dan Datin Junaidah Abd. Majid, Pengarah Kewangan ketika melancarkan Buku Panduan Operasi Pengurusan Kewangan dan Portal Bahagian Kewangan MARA.

Selaras dengan tekad kerajaan untuk menggerakkan transformasi dalam pelbagai bidang, YBhg. Dato’ Ibrahim bin Muhamad, Ketua Pengarah MARA berharap agar semua warga kerja MARA menyambut usaha perubahan ini dan menjadikannya sebagai asas perkhidmatan MARA. Ketika berucap di Perhimpunan Bulanan pada 29 Jun 2010, beliau memberi penekanan terhadap RMK-10 dan kaitannya dengan MARA. Antara intipati ucapan beliau meliputi perkara berikut:

Proses transformasi negara menuntut kepada transformasi jentera kerajaan bagi menyokong peralihan ekonomi. Untuk meneruskan aspirasi menjadi sebuah negara maju dengan ekonomi mapan, kerajaan telah mula mengambil langkah transformational, dan pada masa yang sama mempertahankan agenda keadilan sosial. Bagi maksud ini, kerajaan berpegang kepada empat tiang utama iaitu formula empat campur empat seperti berikut:

Pertama  : Falsafah Induk ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’;

Kedua     : Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Ketiga     : Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bersandarkan Model Baru Ekonomi (NEM).

Keempat : Dua rancangan pembangunan lima tahun : Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.

Empat tiang utama ini pula didukung oleh empat nilai asas pelengkap iaitu:

Pertama  : Membudayakan kreativiti dan inovasi.

Kedua     : Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan.

Ketiga     : Nilai untuk wang atau Value for money dan

Keempat : Nilai integriti.

Manakala Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang bertemakan “Ke Arah Negara Berpendapatan Tinggi Dan Maju” perlu dijadikan dasar dalam pelaksanaan program-program MARA. Agenda ini amat penting untuk memastikan kaum Bumiputera dapat meningkatkan taraf hidup serta terlibat dalam aktiviti ekonomi yang mempunyai rantaian nilai tinggi. Seluruh tenaga dan fikiran perlu digembleng ke arah mencapai objektif ini. Rancangan ini digagaskan daripada 10 idea besar yang kini diterjemahkan sebagai 10 premis utama iaitu:

Pertama  : Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara.

Kedua     : Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa.

Ketiga     : Mentransformasikan negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan.

Keempat : Menjayakan pertumbuhan dipacu oleh produktiviti dan inovasi.

Kelima    : Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul.

Keenam  : Memastikan peluang yang adil, saksama serta melindungi golongan mudah  terjejas.

Ketujuh  : Pertumbuhan bertumpu dan pembangunan inklusif.

Kelapan  : Menyokong perkongsian pintar yang efektif.

Kesembilan: Menghargai khazanah alam sekitar.

Kesepuluh : Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.

Dalam menerajui hala tuju bagi mencapai aspirasi RMKe-10, lima teras strategik utama telah dikenal pasti oleh pihak kerajaan ke arah mencapai objektif serta sasaran yang telah ditetapkan dalam rancangan jangka panjang ini. Lima teras utama tersebut adalah seperti berikut:

Pertama  : Menggubah falsafah dan pendekatan Kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Kedua     : Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi.

Ketiga     : Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif.

Keempat : Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.

Kelima    : Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup.

Langkah transformasi Kerajaan yang sedang dibuat bermula dengan pelaksanaan enam bidang keberhasilan utama negara atau yang lebih dikenali sebagai NKRA. Dengan NKRA tersebut, Kerajaan bertekad untuk mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkat pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam bandar. Bagi memastikan kehendak dan keperluan rakyat diambil kira, pendekatan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) telah diguna pakai.

Di akhir ucapan beliau, YBhg. Ketua Pengarah mengingatkan agar warga kerja MARA sentiasa peka dengan dasar-dasar baru yang diwujudkan oleh pihak kerajaan. Beliau juga amat berharap agar usaha transformasi kerajaan ini dapat digerakkan secara agresif dalam pelaksanaan program MARA untuk memastikan kaum Bumiputera terus terkehadapan dan mampu bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa.

Di akhir majlis, beliau turut melancarkan Buku Panduan Operasi Pengurusan Kewangan dan Portal Bahagian Kewangan MARA. Melalui pelancaran ini, keberkesanan dan kecekapan pengurusan kewangan MARA akan dapat ditingkatkan serta lebih efektif.

Galeri Foto

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.