PELAJAR MISKIN DAERAH SIBU TERIMA SUMBANGAN

YB Dato' Seri Mohd Shafie bin Haji Apdal, Menteri KKLW merasmikan gimik sempena Program MARA Dekat Rakyat bertempat di Sibu Trade & Exhibition Centre, Sarawak.

YB Dato’ Seri Mohd Shafie bin Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah telah menyampaikan sumbangan kepada 101 pelajar cemerlang miskin di Daerah Sibu, Sarawak. Sumbangan khas kepada pelajar cemerlang ini telah disalurkan oleh Yayasan Pelajaran MARA  (YPM) dengan harapan dapat menyuntik semangat dalam diri para pelajar untuk terus mencipta kejayaan yang lebih besar di masa hadapan. Majlis penyampaian sumbangan ini diadakan di Sibu Trade & Exhibition Centre yang diadakan bersempena dengan program MARA Bersama Rakyat Sibu Sarawak yang diadakan dari 8 hingga 9 Mei 2010 yang lalu.

Program berbentuk khidmat masyarakat ini diharapkan dapat memberi kefahaman tentang peranan MARA dalam sektor pendidikan dan keusahawanan dalam membangunkan masyarakat Bumiputera terutamanya di kawasan luar bandar. Program dua hari ini turut dimeriahkan dengan aktiviti seperti pameran dan taklimat peluang pendidikan MARA, jualan dan demo produk usahawan tempatan, Seminar Keusahawanan serta perkhidmatan gunting rambut dan servis motosikal secara percuma oleh pelatih GIATMARA.

Bagi membantu meringankan beban beberapa buah keluarga di daerah ini juga, pihak GIATMARA turut menyumbang dengan melakukan kerja membaik pulih empat buah rumah dan melakukan kerja pendawaian di dua buah rumah panjang.

This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.