MARA DEKATI RAKYAT HULU SELANGOR

YB Dato' Hasan Malek (Timbalan Menteri KKLW) ketika memasang plak perasmian GIATMARA Dekat Rakyat bertempat di Hulu Selangor.

MARA meneruskan tradisi turun padang melalui program MARA Bersama Rakyat (MBR). Program tahunan anjuran MARA ini mensasarkan kawasan luar bandar dengan matlamat untuk mendekati dan berinteraksi secara langsung dengan pelanggan MARA. Melalui pendekatan ini, pelbagai maklumat dapat disampaikan terutamanya mengenai program-program keusahawanan mahu pun pendidikan anjuran MARA.

MBR Hulu Selangor yang diadakan pada kali ini memberi fokus kepada penyebaran maklumat mengenai peluang-peluang pendidikan di bawah Institusi Pendidikan MARA (IPMa). Kaunter perundingan kerjaya turut dibuka untuk memberi ruang kepada pelajar dan ibu bapa bagi mendapatkan maklumat terkini dan khidmat nasihat berkaitan hala tuju pendidikan untuk lepasan SPM dan STPM. Lokasi program iaitu Sekolah Kebangsaan Hulu Yam Baharu, Batang Kali, telah dibanjiri oleh para pelajar, ibu bapa, guru dan juga guru bimbingan dan kaunseling sekolah yang berminat untuk mendapatkan maklumat terkini pendidikan MARA.  

Selain pameran pendidikan IPMa dan taklimat IPMa, seramai 30 orang usahawan turut membuka gerai jualan dan mempromosikan produk keluaran mereka kepada orang ramai. Ini diharapkan dapat menyuburkan budaya keusahawanan di kalangan masyarakat setempat dan juga para pelajar. Program dua hari yang bermula dari 19 April  hingga 20 April 2010 ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah.

This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.